Kanak-kanak 5 tahun antara 54 PATI baru mendarat diberkas - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 5 tahun antara 54 PATI baru mendarat diberkas

KANAK-kanak lelaki berusia lima tahun antara 54 PATI yang ditahan ketika bersembunyi di Jalan Tanjung Balau - Sedili Kecil (Bio Desaru) selepas gagal masuk ke negara ini secara haram di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kanak-kanak berusia lima tahun antara 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Indonesia ditahan ketika sedang bersembunyi di Jalan Tanjung Balau – Sedili Kecil (Bio Desaru) selepas gagal memasuki negara ini secara haram, semalam.

Kesemua PATI berusia lima hingga 52 tahun terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki, 42 lelaki dan 11 wanita tersebut disyaki baru sahaja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

Dalam satu kenyataan Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata, tangkapan dilakukan dalam operasi di bawah formasi Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) bagi Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Pada pukul 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar. Hasil maklumat, pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan itu bagi membuat penjejakan.

“Pada pukul 5 pagi, dengan bantuan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bersama Tim QRF telah berjaya mengesan serta menangkap 54 PATI yang sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau – Sedili Kecil (Bio Desaru),” katanya di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, turut dirampas dalam operasi terbabit adalah mata wang Indonesia IDR 43.5 juta bersamaan RM12,770 serta 43 buah telefon bimbit yang mana nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM23,108.

Jelasnya, kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas.

“Laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan turut meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

“Kerjasama agensi-agensi dalam Op Benteng akan terus dipertingkat bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN