Kabinet perlu kerja keras pulihkan ekonomi negara - Utusan Malaysia

Kabinet perlu kerja keras pulihkan ekonomi negara

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di Istana Negara, semalam. –FOTO/ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi bimbang sekiranya wujud keraguan dalam kalangan pelabur terhadap barisan Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun, mereka turut menyifatkan pelantikan Kabinet baharu dengan “wajah” yang sama adalah satu perkara yang baik berikutan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedia ada tidak perlu dibuat pembaharuan.

Mereka mengharapkan perancangan untuk memulihkan ekonomi negara akan ditambah baik agar mampu membantu rakyat terutama bagi golongan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelantikan Kabinet baharu mungkin akan mewujudkan kebimbangan di antara pelabur kerana mereka bukan sahaja melihat kepada menteri ekonomi, namun Kabinet secara keseluruhan.

“Sekiranya pembentangan belanjawan pada Oktober ini baik, ia akan mengukuhkan keyakinan pelabur kerana membuktikan kredibiliti kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Datuk Dr. Madeline Berma berkata, Kabinet baharu perlu diberi masa untuk membuktikan kepemimpinan mereka dalam membawa Malaysia keluar daripada masalah ekonomi negara.

“Pelabur asing terutamanya akan menggunakan pendekatan “tunggu dan lihat” kerana mereka akan melihat kepada pencapaian serta laporan ekonomi yang dikeluarkan, mereka juga akan menilai keupayaan kerajaan untuk mengurus kewangan serta perdagangan, lebih-lebih lagi keupayaan negara mengurangkan hutang.

“Jadi kesemua ini bukan boleh dilakukan dalam tempoh dua atau tiga minggu, kerana itu saya katakan mereka perlu diberi masa terutama untuk 100 hari pertama memerintah,’’ katanya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, gabungan menteri-menteri baharu ini adalah mereka yang dipercayai oleh Ismail Sabri untuk membantu mentadbir negara termasuk menarik minat para pelabur asing dan tempatan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu meningkatkan lagi usaha untuk menarik kembali pelaburan langsung asing (FDI) yang telah merosot kebelakangan ini. Contohnya, mengadakan tawaran-tawaran yang lebih menarik untuk bersaing dengan negara jiran yang kompetitif.

“Kabinet ini harus berkerja keras untuk memulihkan ekonomi negara kerana situasi kini lebih kritikal berbanding tahun 2020. Meskipun menteri-menteri mempunyai pengalaman, mereka perlu ada penasihat yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang diperlukan di dalam kementerian masing-masing,’’ ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×