Jangan buat provokasi, Parlimen tutup hari ini - Utusan Malaysia

Jangan buat provokasi, Parlimen tutup hari ini

Mohd Rashid Hasnon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangan buat provokasi di Parlimen hari ini.

Itu peringatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon kerana penangguhan Persidangan Khas Dewan Rakyat bukanlah bersifat politik tetapi lebih kepada Covid-19 yang harus dicegah penularannya.

“Mereka kena perhatikan dan lihat segala urusan yang dilakukan semua berasaskan kepada perundangan dan proses yang dibenarkan oleh Parlimen.

“Dalam keadaan sekarang ini, pandemik Covid-19 Parlimen tidak terkecuali. Walaupun dia sebut hanya satu peratus, cadangan asal daripada Ketua Pengarah Kesihatan meminta untuk tangguhkan dulu kerana jumlah keseluruhan di Parlimen ini melebihi 1,000 orang.

“Saya juga mendapat maklumat daripada pihak keselamatan yang mereka telah kekurangan 20 kakitangan untuk membuat rondaan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Lagi pula katanya, semua urusan di Parlimen tidak beroperasi, tidak guna pun mereka datang.

Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam dibuat atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah selepas penilaian risiko berikutan peningkatan kes dikesan di Parlimen sejak Isnin lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hingga petang Khamis, lebih 70 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan dilakukan membabitkan ahli Parlimen dan pengiring mereka yang juga kontak rapat.

Perkara ini menimbulkan ketidakpuasan hati pembangkang dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan itu merupakan helah kerajaan.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dilapor akan tetap meneruskan agenda untuk ke Parlimen hari ini bagi membawa isu-isu rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd. Rashid turut berkata, beliau tidak dapat memastikan tarikh baharu untuk meneruskan persidangan kerana Parlimen hanya akan patuh pada arahan yang disarankan Kementerian Kesihatan.

Dalam pemakluman Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin kelmarin, sidang khas Parlimen yang seharusnya disambung hari ini ditangguhkan ‘ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak’.

Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat 11 (3) memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk memanggil Parlimen lebih awal jika ada penangguhan, namun tiada disebutkan mengenai kuasa untuk penangguhan.

Bagaimanapun Peraturan Mesyuarat 11 (2) membenarkan Perdana Menteri mengubah tarikh yang ditetapkan untuk persidangan Parlimen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN