PETALING JAYA: “Kalau kita buat kerja yang betul, maka tak perlu jawab apa-apa terhadap orang yang sangsi. Tapi kalau sebaliknya, maka lakonan tersebut pasti akan terbongkar juga. Itu sahaja.”
Itu kata aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang susulan kontroversi membabitkan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam misi kemanusiaan di Gaza, Palestin baru-baru ini.
Menurut beliau, konflik antara Ebit Lew dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan penyanyi rap, Caprice berhubung misi kemanusiaan itu harus dijadikan iktibar kepada semua pihak terutama NGO yang melaksanakan misi bantuan kepada orang ramai agar lebih fokus menyusun gerak kerja masing-masing.
Kata pengasas Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia (CP) itu, untuk terus kekal berbakti kepada masyarakat, seorang pemimpin harus menyemai sifat ikhlas dalam berbakti dan tidak mengendahkan celaan, kutukan dan tohmahan orang lain.
Hal ini katanya, kerana seseorang manusia itu bertanggungjawab bukan terhadap orang lain semata-mata tetapi juga kepada agamanya.
“Mungkin di dunia kita boleh berlakon, tetapi di akhirat nanti kita akan dipersoalkan. Malaysia ada 36 juta orang, tuhan hanya satu sahaja. Jika kamu berjaya jawab dengan yang satu, maka terjawablah untuk yang 36 juta orang itu. Tetapi kalau dengan tuhan yang satu pun tak boleh jawab, macam mana nak jawab dengan yang 36 juta itu?
“Bagi saya orang lain tidak mainkan apa-apa peranan pun. Yang paling penting, hati kita, jiwa kita dan agenda kita tuhan tahu. Mungkin di dunia kita boleh berlakon, tetapi di akhirat nanti kita akan dipersoalkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, Chee Heng berkata, sebaiknya semua pihak wajar mencari titik persamaan dalam melancarkan gerak kerja kebajikan.
“Bagi saya kalau ada yang persoalkan tidak telus, memang ada orang yang iri hati dan yang tak sehaluan dengan kita. Tapi biarlah sama-sama kita buat kebajikan dan sama-sama mencari jalan yang baik untuk ke akhirat. Itu yang paling penting,” katanya.
Justeru, beliau yang lebih 30 tahun menjalankan kerja-kerja kebajikan itu menyarankan agar sistem audit terhadap kewangan sesebuah NGO ditambah baik, selain menyeru sikap jujur dan amanah dalam setiap tindakan.
“Kita pun memang ada audit, tetapi audit ini pun boleh dipertikaikan. Kita pun fahamlah tambahan dalam dunia sukarelawan ini.
“Macam saya banyak yang beri duit sumbangan, tapi kita kena jawab dengan Tuhan. Apa yang kita lakukan di dunia ini akhirnya akan sampai di akhirat nanti. Audit yang paling benar, adalah audit dengan tuhan,” katanya. – UTUSAN
Ikuti wawancara penuh dalam Mingguan Malaysia.










