Ingkar SOP: 224 individu dtahan; 48 premis ditutup - Utusan Malaysia

Ingkar SOP: 224 individu dtahan; 48 premis ditutup

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 224 ditahan dengan seramai 208 dikompaun manakala 16 lagi direman.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 48 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup kerana didapati masih ingkar SOP.

“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,959 kilang, 14,847 premis perniagaan, 924 tapak pembinaan dan 316 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 11 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan lima kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain menjalankan 918 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Menyentuh kuarantin wajib, katanya, 507 individu tiba di tanah air semalam, dengan jumlah kumulatif seramai 269,265 sudah diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai tahun lalu.

“Sejumlah 9,906 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” jelas Hishammuddin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 639 peruncit, 160 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,598 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya satu premis diberi amaran. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN