LIPIS: Hasrat pengusaha ikan sangkar Sungai Jelai di sini untuk memperoleh pulangan modal tidak kesampaian sebaliknya menanggung kerugian apabila ikan patin, tilapia, lampam dan keli diternaknya melebihi usia matang dan tidak laku di pasaran.
Pengusaha terbabit, Khairul Anuar Ahmad Mahir, 32, dari Kampung Ganding di sini berkata, pendapatannya sejak awal tahun ini cukup ‘teruk’ kerana pasaran ikan sangkarnya terbantut ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersilih ganti dengan PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan sehingga ini beralih PKP semula.
“Walaupun negeri ini sudah memasuki fasa kedua serta kelonggaran rentas daerah, tetapi ‘nasi sudah menjadi bubur’ kerana ikan diternak ini sudah tidak laku lagi untuk dijual kerana melebihi usia matang.
“Kita sudah mencongak sebanyak 50,000 ekor ikan patin, tilapia dan lampam memasuki pasaran pada bulan Mei lalu, tetapi musnah sama sekali apabila PKP mula dikuatkuasakan mulai 10 Mei sehingga aktiviti pasaran terbantut terus akibat tidak boleh rentas daerah dan negeri,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Khairul Anuar, dia bersama saudaranya, Mohktar Mohamad, 55, mengeluarkan modal sendiri membiayai pembinaan 70 buah sangkar di Sungai Jelai daerah ini bagi perusahaan ternakan ikan komersial sejak 2000 dengan permulaan ternakan kira-kira 80,000 ekor ikan patin, tilapia dan lampam.
“Saya tidak sangka ancaman Covid-19 pada awal 2020 dan mula pelaksanaan PKP telah beransur-ansur ‘menggelapkan’ kehidupan kami termasuk nasib rakan pengusaha ternakan yang sama di tempat lain.
“Sebelum PKP dahulu, kita mampu memasarkan anggaran dua tan ikan ini seminggu di bandar Kuala Lipis, Jerantut dan Lembah Klang dengan harga RM17 sekilogram bagi ikan patin dan tilapia, manakala lampam (RM35/kg) dan ikan keli (RM7/kg).
“Sejak PKP Mei lalu, ternakan ini hanya cuma dipasarkan seberat 200 kilogram sahaja setiap minggu malah kadang-kadang kurang di kawasan kampung berdekatan dan langsung tidak dapat mengembalikan modal hasil pasaran ini.
“Duit simpanan yang ada cuma digunakan untuk membeli makanan ikan antara 60 hingga 70 beg sehari dan sehingga ini wang (simpanan) sudah habis, ikan ini pula melebihi usia matang, kualitinya tidak boleh mencapai pasaran. Saya beristiqamah serta reda dengan ujian Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Mokhtar berkata, setelah memasuki kelonggaran berniaga fasa kedua, mereka cuma membuka gerai di tepi jalan raya Jerantut – Lipis berdekatan Kampung Ganding untuk menjual ikan tersebut.
“Hasil pasaran ikan ini cuma mampu menampung belanja keperluan dapur sahaja kerana saya tidak mampu membuat pekerjaan lain, malahan tidak dapat menabung langsung untuk persediaan bagi keluarga waktu kecemasan.
“Tidak tahu apa yang saya hendak katakan lagi apabila ternakan yang berusia lebih enam bulan dan ada yang sudah melebihi setahun tidak laku dijual malahan bolehlah saya katakan ternakan ini lama-kelamaan akan berkubur di dasar sungai,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE