Ibu hamil masih fobia - Utusan Malaysia

Ibu hamil masih fobia

SHAZATUL Shima Shaharudin yang kini hamil 37 minggu bersama suaminya, Muhamad Salim Sahbudin, 35, dan anak sulungnya, Muhammad Amsyar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Sebaik sahaja disahkan positif Covid-19 tahap empat, saya tidak mampu berkata apa-apa selain mendoakan kandungan saya selamat dan tidak dijangkiti.

“Saya mengalami tekanan yang sangat teruk kerana terlalu memikirkan keadaan diri sendiri dan beberapa ahli keluarga yang turut dijangkiti wabak ini,” kata Shazatul Shima Shaharudin, 30.

Bercerita kepada Utusan Malaysia, Shazatul Shima yang sarat hamil anak kedua berkata, sehingga kini, dia tidak tahu daripada siapa dan di mana dia dijangkiti.

Menurutnya, sebelum disahkan positif Covid-19, dia mengalami demam berpanjangan, hilang deria rasa dan bau, sakit sendi dan lemah satu badan, kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Paya Besar pada 8 Julai lalu, namun diminta menjalani ujian calitan keesokan harinya kerana bergejala.

“Bagaimanapun, keadaan saya semakin teruk menyebabkan saya terus ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 9 Julai dan menjalani ujian calitan dan dipakaikan gelang pink serta kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian,” katanya di Kampung Pandan 1 di sini semalam.

Selain Shazatul Shima yang kini hamil 37 minggu, antara 13 hingga 15 ahli keluarganya termasuk suaminya, Muhamad Salim Sahbudin, 35, dan anak sulungnya, Muhammad Amsyar yang berusia dua tahun, ibunya, Zaizan Salleh, 53, turut dijangkiti.

Datuknya, Hashim Abdullah, 87, turut dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia pada 16 Julai lalu.

Menurut Shazatul Shima, keputusan yang dikeluarkan pada 13 Julai lalu mengesahkan dia positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di Kolej Kejururawatan di sini.

Menurutnya, selepas selesai proses pendaftaran, keadaan kesihatannya semakin merosot, dada rasa seperti dihimpit, hilang deria rasa dan bau, bacaan hemoglobin juga turun sehingga 8.3 dan kandungan oksigen sudah tidak stabil.

“Doktor terus membuat pemeriksaan jantung dan mengambil sampel darah di situ juga kerana keadaan saya yang semakin serius.

“Pada pukul 1.30 pagi 14 Julai lalu, doktor memutuskan saya perlu dibawa ke wad Covid-19 untuk pemantauan lanjut dan dipakaikan alat oksigen.

“Selepas empat hari, saya boleh bernafas dengan sendiri tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya yang juga seorang guru.

Menurutnya, demi menyelamatkan nyawa, doktor menasihatnya melakukan ujian CT Scan untuk melihat sama ada virus sudah merebak atau belum walaupun ia akan merisikokan bayi dalam kandungan.

“Jika ada darah beku di bahagian dada dan keadaan saya semakin teruk, mereka terpaksa keluarkan bayi saya dan saya akan ditidurkan. Waktu itu hanya Allah SWT yang tahu betapa risaunya saya.

“Syukur Alhamdulillah, hasil ujian CT Scan menunjukkan tiada darah beku atau sebarang jangkitan kuman dan kandungan juga berada dalam keadaan baik,” katanya.

Shazatul Shima yang dibenarkan pulang ke rumah pada 21 Julai lalu berharap masyarakat terus berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan dan kesihatan masing-masing.

“Saya masih mengambil langkah berjaga-jaga, masih menjaga jarak antara keluarga malah masih takut mendekatkan diri dengan orang lain dan masih fobia lagi sehingga kini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN