Hujan lebat di Semenanjung hingga minggu depan - Utusan Malaysia

Hujan lebat di Semenanjung hingga minggu depan

Seorang penduduk membersihkan rumahnya yang terjejas teruk akibat fenomena kepala air di Titi Hayun, Yan, semalam. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hujan lebat di Semenanjung ketika ini berpunca daripada Monsun Barat Daya yang menyebabkan berlakunya perubahan angin tidak aktif sekali gus berisiko mendatangkan banjir di beberapa negeri di Pantai Barat.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd. Anip berkata, sebelum ini berlaku angin aktif dan berlaku angin kencang, menyebabkan kurang litupan awan dan pancaran matahari sampai ke permukaan bumi.

“Keadaan itu menjadikan hujan berkurangan dan kawasan tersebut panas dan kering.

“Tetapi, tiupan angin menjadi lemah di fasa tidak aktif menyebabkan litupan awan meluas dan pancaran matahari sampai ke bumi kurang sekali gus menghasilkan taburan hujan tinggi dan berlakunya hujan kerap di kawasan tinggi seperti bukit dan gunung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini melaporkan berlaku fenomena hujan kilat di kawasan Semenanjung terutama di Pantai Barat seperti di Kedah, Perlis, Perak dan Selangor.

Tambah Mohd. Hisham, situasi itu dijangka berlarutan dalam dua hingga tiga minggu sehingga hujung minggu hadapan, dengan hujan lebat pada pagi dan petang serta ribut petir di negeri seperti Kedah, Perak, Selangor dan di Pantai Barat Semenanjung.

Mengulas mengenai situasi di Gunung Jerai yang berlaku kejadian kepala air kelmarin, beliau berkata, hujan lebat berlaku di hulu sungai terutama di kawasan atas bukit menyebabkan ‘kepala air’ terhasil dan arus air banyak mengalir ke bawah.

“Fenomena ini bukan pertama kali berlaku di Malaysia, malah, kita tiada alat memantau kawasan tersebut kerana air mengalir boleh juga disekat oleh batang kayu tumbang dan ranting.

“Sekatan batu dan dahan pokok tersebut berpotensi pecah kerana tidak mampu menahan air berskala banyak di Gunung Jerai, menghasilkan ‘kepala air’ dari kawasan atas bukit turun dengan arus deras,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN