Hasrat untung besar, rugi RM45,000 - Utusan Malaysia

Hasrat untung besar, rugi RM45,000

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang suri rumah berputih mata apabila hasratnya ingin memperoleh untung besar menerusi pelaburan bitcoin akhirnya kerugian sebanyak RM45,000 apabila wang simpanannya  lesap ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 56 tahun dari Taman Kota Ria, dekat sini itu telah berdaftar dengan syarikat Qteck melalui laman sesawang Google bagi memulakan proses pelaburannya, 26 Julai lalu. 

Menurutnya, mangsa telah menerima panggilan dari agen yang memperkenalkan dirinya David Kaminsky dan memintanya untuk membuat pemindahan sejumlah wang yang akan digandakan.

“Pada 27 Julai lalu mangsa yang tidak teragak-agak telah memasukkan wang simpanannya sebanyak RM30,000 melalui aplikasi bitcoin.

“Sehari selepas itu, pada 28 Julai lalu sekali lagi mangsa menambah pelaburan sebanyak RM15,000 juga melalui bitcoin yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, mangsa masih lagi mendapat panggilan daripada David yang memintanya menambah lagi pelaburan untuk mendapatkan jumlah keuntungan RM480,000.

“Menurut mangsa, 2 Ogos lalu David memintanya membuat pemindahan wang sebanyak RM50,000 bagi tujuan pembayaran cukai untuk mendapatkan keuntungan pelaburan.

“Namun mangsa sudah tidak mengendahkan permintaan tersebut kerana sudah tidak mempunyai wang lagi. Mangsa juga sudah mengesyaki dirinya telah ditipu,” katanya.

Beliau berkata, suspek dengan mudah telah memperdaya mangsa dalam pelaburan bitcoin yang tidak wujud sehingga mengalami kerugian.

“Mangsa telah datang ke Balai Polis Kuantan untuk membuat laporan penipuan pelaburan bitcoin.

“Tindakan lanjut akan diambil dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya