PENDANG: Seorang guru tidak sempat menimang cahaya mata sulung apabila menghembuskan nafas terakhir di Hospital Alor Setar Lama di sini pada pukul 10.30 pagi semalam.
Allahyarham Aizuddin Abd. Razak, 32, meninggal dunia selepas 10 hari bertarung nyawa akibat positif Covid-19 dan menerima rawatan di hospital itu.
Menurut bapa mangsa, Abd. Razak Zakaria, 62, anak sulungnya itu baru selesai melaporkan diri di sebuah sekolah di Pulau Pinang pada bulan lalu setelah enam tahun berkhidmat di Sabah.
Katanya, arwah tinggal bersama isterinya, Amirah Hashim, 34, dan keluarga mentua di Sungai Petani dekat sini memandangkan isterinya itu sedang mengandung lapan bulan.
“Seminggu sebelum kejadian, keluarga metua anak saya itu mula demam tetapi tidak berpanjangan dan anak saya guna alat ujian Covid-19 yang dibelinya untuk buat ujian saringan.
“Hasil ujian itu mendapati mereka negatif dan hanya bergantung kepada keputusan ujian berkenaan memandangkan arwah ketika itu hanya demam biasa.
“Sehingga pukul 2 pagi, 4 Ogos lalu, isteri anak saya rasa perut mengeras dan tiada pergerakan bayi dan sebelum memasuki wad perlu membuat ujian saringan kesihatan dan mendapati isterinya positif,” katanya ketika dihubungi di sini semalam..
Bagaimanapun, tambah Abd. Razak, sehari selepas itu, arwah anaknya pula disahkan positif dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum kesihatannya merosot dan dipindahkan ke Hospital Alor Setar Lama.
Katanya, sehari sebelum meninggal dia sempat berbual dengan anaknya melalui panggilan video dan berasa sedih melihat keadaan anaknya yang bergantung dengan mesin oksigen.
“Saya juga bersimpati dengan menantu saya memandangkan usia perkahwinan mereka baru sahaja lebih setahun dan cucu saya yang bakal dilahirkan tidak sempat merasai kasih sayang ayahnya,” ujarnya.
Sementara itu, isteri mangsa, Amirah, yang sedang dikuarantin di rumah di Sungai Petani meminta orang ramai mendoakannya agar dirinya kuat dan selamat melahirkan bayi.
Jenazah Allahyarham Aizuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyak, Pendang dekat sini pada pukul 6 petang semalam. – UTUSAN ONLINE










