GRS harap hubungan negeri-Persekutuan terus diperkukuh - Utusan Malaysia

GRS harap hubungan negeri-Persekutuan terus diperkukuh

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap hubungan antara negeri dan Persekutuan akan terus diperkukuhkan dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Beliau berkata, pelantikan itu memang tepat kerana Ismail Sabri mempunyai kelayakan dan pengalaman yang diperlukan untuk memimpin negara ini.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini berkata, kerajaan negeri menyokong penuh pelantikan Ismail Sabri dan berharap hubungan negeri dan persekutuan akan membuahkan hasil.

“Hubungan ini diharap akan mempercepatkan lagi usaha membangunkan negeri dan juga mengambil kira hak-hak Sabah.

“Kami akan meneruskan perjuangan untuk menuntut isu-isu berkaitan hak, keutamaan dan keperluan Sabah.

“Pergolakan politik yang berlaku di peringkat Persekutuan telah diselesaikan maka, marilah kita semua bersatu, mengenepikan perbezaan dan terus bergerak untuk memerangi pandemik Covid-19 serta membangunkan semula ekonomi kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji mewakili kerajaan GRS turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmatnya kepada rakyat dan negara serta sokongan dan sumbangannya kepada Sabah.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN