Dapur Sepakat bantu penduduk terjejas - Utusan Malaysia

Dapur Sepakat bantu penduduk terjejas

MOHD. Yusnizam (kanan) membantu individu yang terkesan pandemik Covid-19 dalam program ‘Dapur Sepakat’ yang dijalankan oleh KRT Taman Bukit Kempas, Jelebu.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Menyedari terdapat jiran mereka yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 ketika ini, penduduk Taman Bukit Kempas, dekat sini mewujudkan Dapur Sepakat yang menyediakan barangan makanan asas untuk diberikan kepada golongan memerlukan.

Hasil inisiatif pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Kempas itu, penduduk yang terkesan diberikan bantuan seperti minyak masak, beras dan gula.

Pengerusi KRT Taman Bukit Kempas, Mohd. Yusnizam Yusran berkata, kewujudan Dapur Sepakat itu bukan sahaja membantu penduduk di taman berkenaan, malahan kepada penduduk di kawasan sekitar.

“Kami cuba membantu meringankan beban penduduk di taman ini termasuk mereka yang menjalani kuarantin dan yang positif Covid-19.

“Sehingga kini, kami telah membantu lebih 90 buah keluarga yang terjejas termasuk penduduk sekitar berdekatan seperti di Sungai Rotan, Kuala Klawang, Felda Titi dan Seperi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, pembukaan Dapur Sepakat itu bertujuan menjadi lokasi bagi penduduk yang ingin menghulurkan dan menyampaikan bantuan.

“Kami meletakkan pelbagai jenis barangan yang disumbangkan, mereka boleh mengambil barangan yang betul-betul mereka perlukan, sesiapa sahaja boleh datang.

“Dapur Sepakat ini juga telah menerima maklum balas baik daripada penduduk taman perumahan ini dan insya-Allah, kami akan teruskan program ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Yusnizam juga turut mengalu-alukan mana-mana individu mahupun syarikat korporat untuk memberi sumbangan kepada Dapur Sepakat bagi membantu penduduk yang terkesan Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN