Bentuk kerajaan baharu segera elak kesan kepada Belanjawan 2022 - Utusan Malaysia

Bentuk kerajaan baharu segera elak kesan kepada Belanjawan 2022

DR. ARIFF AIZUDDIN AZLAN, MUJIBU ABD. MUIS dan MOHAMED HANIFF KHTRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Perdana Menteri baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti dijalankan sebelum pembentangan Belanjawan 2022.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan berkata, kelewatan berbuat demikian dijangka memberi kesan terhadap pengurusan dan perjalanan belanjawan itu nanti khususnya dalam keadaan penularan pandemik Covid-19.

Hal itu menyebabkan hala tuju negara dalam tempoh beberapa tahun tidak jelas sekaligus mendorong kepada krisis politik menjadi lebih buruk.

“Memang benar ada kerajaan sementara atau caretaker dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan menguruskan setiap operasi kerajaan, tetapi, lebih mustahak sekarang ialah bantuan berskala besar yang semuanya memang diambil alih oleh menteri yang bertanggungjawab.

“Selain itu, kebanyakan isu besar melibatkan rakyat di tengah pandemik Covid-19 akan menjadi tergantung dan ini memerlukan campur tangan politik daripada menteri-menteri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Muhyiddin ketika masih Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Belanjawan 2022 dijadualkan dibentangkan pada 29 Oktober ini yang menumpukan kepada agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pula dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 20 September ini. Belanjawan tahun ini memperuntukkan sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pun begitu, disebabkan pergolakan politik sehingga membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri dan Kabinet semalam, ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan baharu dapat dibentuk sebelum menjelangnya pembentangan belanjawan di Parlimen.

Muhyiddin yang mengetuai pembentukan PN bukan melalui pilihan raya umum pada tahun lalu mempunyai sokongan 100 ahli Parlimen iaitu kurang 11 untuk mencapai sokongan majoriti selain kehilangan sokongan majoriti 15 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongannya.

Dilaporkan, usaha mengumpulkan surat akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli-ahli Parlimen PN sedang berlangsung bagi mengetengahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri baharu.

Selain Ismail, beberapa nama disebut-sebut dicalonkan iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, pensyarah Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM, Mujibu Abd. Muis berkata, urus tadbir dan institusi dalam kerajaan kekal beroperasi seperti biasa selepas Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Jelasnya, penjawat awam menerusi Ketua Setiausaha (KSU) setiap Kementerian juga berperanan dalam melancarkan urusan kerajaan sepanjang tempoh tersebut.

Bagaimanapun, kerajaan sementara itu tidak boleh lagi melaksanakan dasar-dasar baharu dan hanya meneruskan ketetapan sedia ada sehingga Perdana Menteri dan Kabinet baharu dilantik menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, sudah ada ketetapan atau rantaian perintah organisasi dalam perkhidmatan awam yang digunakan sekaligus menjadi panduan kepada seluruh kakitangan kerajaan yang tidak boleh dihentikan walaupun berlaku pertukaran tampuk pimpinan kerajaan.

“Katalah dalam program vaksinasi, bantuan moratorium yang berlangsung sekarang, KSU kementerian sampailah kepada semua kakitangan awam, mereka akan menjalankan tugas mereka seperti biasa selaras dengan arahan yang diberikan.

“Kerajaan terbentuk melalui tiga badan iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari yang semua ditunjangi oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi, sekarang, yang tiada hanyalah eksekutif sahaja dan ini tiada masalah.

“Pegawai awam kita juga bersikap profesional, taat setia dan khidmat mereka berjalan seperti biasa walaupun tiada kerajaan buat sementara,” katanya.

Dalam pada itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula berkata, meskipun caretaker Perdana Menteri tiada di dalam Persekutuan Persekutuan, namun ia terserah kepada Seri Paduka untuk menjalankan tugas pentadbiran sehingga kerajaan baharu terbentuk.

Tambahnya, ia bukan satu perkara baharu apabila tahun lalu ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Interim sehingga pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Cuma dalam soal ini, Perdana Menteri caretaker tidak mengubal dasar atau membuat perbelanjaan baharu melainkan meneruskan dasar-dasarkan dibuat sebelum ini. Ia termasuklah meneruskan program vaksin. Sepanjang tempoh itu, beliau tidak boleh membuat pembelian vaksin dan perjanjian dengan mana-mana negara lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN