ALOR SETAR: Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) merayu kerajaan agar membenarkan orang ramai yang telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 melancong ke pulau peranginan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir berkata, sektor pelancongan Langkawi yang dijangka mengalami kerugian RM1 bilion tahun ini perlu diselamatkan secepat mungkin.
Menurutnya, setakat ini, hanya lima hotel dan resort di bawahnya masih beroperasi manakala yang lain terpaksa ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Oleh itu kita merayu sangat dengan kerajaan agar kelonggaran bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin itu melibatkan gelembung pelancongan ke pulau ini.
“Sekiranya sehingga September ini Langkawi masih belum menerima kedatangan pelancong keseluruhan pengusaha hotel di sini terpaksa menutup terus premis mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada penerima lengkap dua dos vaksin tidak lama lagi.
Beliau berkata, beberapa kelonggaran telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, kata Zainuddin, Langkawi memerlukan pelan pemulihan pelancongan yang pantas ekoran kerugian sektor itu yang berlarutan sejak tahun lalu.
“Pada 2020, Langkawi rugi RM1 bilion dan tahun ini pun bakal rugi RM1 bilion lagi. Jika berterusan bagaimana pengusaha dan penggiat pelancongan di sini mampu bertahan. Banyak ahli LTA merungut mereka tidak dapat bertahan lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, tambahnya, beliau turut berharap kementerian berkaitan memberi tarikh yang tepat berhubung pembukaan semula sektor pelancongan pulau berkenaan secepat mungkin.
“Kementerian Pelancongan hanya memaklumkan Langkawi akan dibuka pada September tetapi tiada tarikh yang tepat dan ini menyukarkan pengusaha hotel membuat persediaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE