Belia Prihatin gerakkan misi Malaysia Gembira - Utusan Malaysia

Belia Prihatin gerakkan misi Malaysia Gembira

Kelab Belia Prihatin menggerakkan misi kutipan dana RM200,000 untuk program rakyat berkaitan kesejahteraan mental
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kesejahteraan mental berikutan ramai yang stress akibat pandemik Covid-19, Kelab Belia Prihatin menganjurkan beberapa program bagi membantu golongan yang memerlukan.

Dengan meletakkan misi Malaysia Gembira, Pengasas Kelab Belia Prihatin, Luqman Hakim Md Zim berkata, ia merupakan inisiatif anak muda bagi mencabar keupayaan sendiri mengumpul dana sebanyak RM200,000 bertujuan untuk menjayakan beberapa program yang telah dirancang.

“Sekarang kami sedang mengumpul dana RM200,000 untuk beberapa projek yang kita buat pada suku ketiga dan keempat pada 2021. Ia adalah suatu yang mencabar, tetapi kita nak tunjukkan walaupun tidak ada sebarang jaringan dengan mana-mana pihak, kita tetap boleh kutip dan RM200,000 ini untuk kegunaan bersama.

LUQMAN HAKIM MD. ZIM

“Projek pertama adalah Hub Belia Gembira, iaitu kita akan menyediakan pusat aktviti untuk anak muda dengan kemudaham talian internet di 10 buah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kita pilih. Ini kerana banyak di flat-flat nak belajar pun susah kerana tiada internet. Jadi kita akan sediakan kemudahan ini selama setahun.

“Malah kita juga sedang membuat geran padanan (matching grant) iaitu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) melalui syarikat telekomunikasi boleh menyumbang internet kepada 10 buah hub belia. Bermakna secara keseluruhannya, kita dapat membantu wujudkan 20 hub belia di 20 lokasi flat PPR berbeza yang disasarkan untuk menerima bantuan ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambah Luqman, kesemua program ini adalah idea daripada ‘generasi yang hilang’ iaitu anak muda golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran melalui beberapa idea berteraskan agenda pembangunan dan kesihatan mental supaya tidak ketinggalan berbanding generasi sebelum ini.

Antara program lain yang sedang diusahakan kata Luqman adalah program bakul makanan,  dan golongan B40 yang menetap di Selangor dan Lembah Klang merupakan sasaran utama untuk diberi bantuan.

“Sasaran kita adalah bergantung kepada berapa banyak duit yang kita dapat. Sebelum ini kami sudah lakukan dengan membuat penetapan harga iaitu RM100 bagi setiap bakul makanan,” jelasnya lagi.

Kedua-dua program itu kemudiannya diteruskan kepada Projek Kayak Gembira dimana ia merupakan insiatif Kelab Belia Prihatin bagi meningkatkan kembali kesejahteraan mental untuk menjadi lebih positif selepas stress berkurung di rumah akibat pandemik Covid-19.

“Ini adalah inisiatif pasca pandemik selepas orang ramai boleh keluar dari rumah. Takkan nak joging sahaja? Jadi kita memberi satu peluang kepada masyarakat untuk bermain kayak secara percuma di tasik sekitar Kuala Lumpur. Kita tahu kayak adalah sukan yang paling rendah harganya dan mudah penjagaannya.

“Jadi kita menggunakan projek-projek ini untuk meningkatkan kestabilan emosi dalam diri setiap orang,” ujarnya lagi.

Menurut Luqman lagi, semua program yang dirancang ini akan berjaya sekiranya dana RM200,000 berjaya dikutip.

Tambah beliau, kutipan dana itu adalah untuk kegunaan masyarakat seluruhnya dan Kelab Belia Prihatan tidak mengambil sebarang keuntungan daripada dana yang disalurkan.

Setakat 20 Ogos, jumlah dana terkumpul adalah sebanyak RM5,590 dan kutipan ini akan berakhir pada 15 September ini iaitu sehari sebelum Hari Malaysia.

Menurut Presiden Belia Prihatin cawangan Ampang, Akid Anuar, satu lagi program akan dijalankan pada 15 September ini iaitu larian 12 jam tanpa henti oleh seorang anak muda.

Katanya, larian itu merupakan satu program yang dicipta bagi mencabar keupayaan anak muda sama ada perkara itu boleh dilakukan atau sebaliknya sebelum menyambut Hari Malaysia.

“Kita ada seorang anak muda yang akan berlari selama 12 jam tanpa henti di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Pelari ini bukan atlet kebangsaan, dia sama seperti kami yang merupakan seorang anak muda dan belia. Program ini adalah bagi mencabar diri kami semua sama ada ia boleh dilakukan atau tidak. Jika ia berjaya, kita akan mencipta satu lagi rekod baru dalam Malaysia Book of Records sekali gus meraikan sambutan hari Malaysia pada 16 September itu nanti,” ujarnya lagi.

Kelab Belia Prihatin antara kelab dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), kini mempunyai 280 ahli berdaftar seluruh negara.

Bagi mereka yang ingin membuat sumbangan, anda boleh layari laman sesawang linktr.ee/beliaprihatin.my

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya