SEREMBAN: Setiap kali tiba bulan kemerdekaan, seorang warga emas sanggup berhabis duit untuk menghias motosikalnya dengan Jalur Gemilang dan mengelilingi beberapa kawasan tumpuan di negeri ini.
Jamaluddin Malek, 69, berkata, perkara tersebut menjadi kemestian dan telah dilakukan sejak 15 tahun lalu sebagai tanda cintakan negara serta memupuk semangat patriotik.
“Ini cara saya menyatakan penghormatan terhadap negara ini dan saya bangga melakukannya.
“Dari dulu, saya memang bersemangat dan membuat persiapan menghias motosikal dengan bendera walaupun ada yang pertikaikan kenapa sanggup berhabis duit,” katanya ketika ditemui di Kampung Desa Nyiur di sini semalam.
Menurut Jamaluddin, bagi dirinya, perkara itu merupakan satu kepuasan dan beliau berbangga apabila orang ramai terutama anak-anak kecil berhenti untuk merakamkan gambar bersama.
“Tahun-tahun sebelum ini, saya juga menempah baju khas bertemakan Jalur Gemilang bagi memberi kelainan dan keceriaan pada hari kemerdekaan serta mengelilingi bandar Seremban dan Port Dickson,” katanya.
Jamaluddin berkata, beliau kemudiannya akan menunggang motosikal dengan menempuh perjalanan lebih 300 kilometer semata-mata mahu menyambut hari kemerdekaan di tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Bahru.
“Tetapi, disebabkan pandemik Covid-19, nampaknya saya hanya menyambutnya di Seremban saja tahun ini dan tidak sabar menanti 31 Ogos,” ujarnya.
Ketika ditanya tentang erti kemerdekaan buat dirinya, Jamaluddin berkata, keamanan dan kesejahteraan yang dimiliki dapat dipertahankan selain rakyat sentiasa bersatu hati tanpa mengira kaum.
“Saya tengok tidak ramai lagi yang ambil inisiatif kibar Jalur Gemilang sama ada pada kenderaan atau di rumah.
“Marilah kita sama-sama semarakkan Bulan Kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang. Kalau bukan kita siapa lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE