SEREMBAN: Satu audio tular kononnya lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban adalah tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan setelah menerima aduan mengenai audio tersebut yang tular dalam media sosial termasuk WhatsApp.
“Kami telah pun siasat, memang tidak timbul isu yang didakwa, ada pihak cuba menularkan satu mesej bahawa terdapat lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut oleh keluarga mereka di Seremban.
“Dalam masa pandemik, saya mohon jangan buat perkara yang menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat India di negeri ini dan jangan sebarkan audio sebegini yang tidak benar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Arul, beliau juga telah menghubungi Pengarah HTJ Seremban untuk mendapatkan penjelasan dan pihak hospital memaklumkan perkara tersebut tidak pernah berlaku.
“Semua mayat berbangsa India yang meninggal dunia di hospital akibat Covid-19 telah dituntut oleh keluarga masing-masing.
“Saya tidak pasti apa motif mereka sengaja tularkan isu sensitif seperti ini sehingga menimbulkan persepsi dan rasa kurang senang dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HTJS, Dr. Zaleha Mohd Nor mengesahkan isu mayat tidak dituntut akibat Covid-19 adalah palsu dan tidak berlaku seperti mana yang ditularkan melalui audio berbahasa Tamil.
Semalam, tular sebuah audio berbahasa Tamil mengatakan terdapat lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut dan berlambak di bilik mayat HTJ.
Dalam perkembangan lain, Arul berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan tiga hingga empat syarikat yang menguruskan proses pengebumian mayat bukan Islam dengan bayaran RM2,500 bagi kematian kes Covid-19.
“Bagi kes pengebumian mayat bukan Islam, kami telah mencari jalan penyelesaian dengan mengenakan kos sekitar RM2,500 sahaja berbanding sebelum ini keluarga mendakwa dikenakan bayaran sehingga RM5,000 yang dianggap membebankan mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE










