PUTRAJAYA: Keabsahan kepemimpinan UMNO menjadi tanda tanya selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan sebagai tidak sah.
Keputusan itu menyaksikan kedudukan pemimpin UMNO ketika ini tergantung memandangkan tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
UMNO akan menghantar surat jawapan kepada Ketua Pengarah RoS Isnin ini kerana percaya tiada sebarang kekhilafan berhubung keputusan penangguhan berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah RoS, Jasri Kasim berkata, keputusan menangguhkan pemilihan MT, bahagian dan cawangan yang dibuat UMNO adalah selepas tamat penggal MT pada 30 Jun lalu.
Justeru, kata beliau, UMNO perlu mengemukakan permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada RoS dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, pelaksanaan mesyuarat agung dan pemilihan biasanya ditetapkan Perlembagaan sesebuah pertubuhan.
“Jika tak boleh laksanakan pada tarikh yang sepatutnya, pertubuhan perlu kemukakan cadangan penangguhan kepada RoS, tak boleh guna Perlembagaan UMNO Perkara 10.16 untuk membuat penangguhan itu.
“Ada sesetengah pertubuhan terutama parti politik memperuntukkan fasal khas untuk penangguhan seperti UMNO, tetapi keputusan dibuat selepas tamat penggal MKT 2018/2021 pada 30 Jun 2021.
“RoS akan mempertimbang permohonan penangguhan itu dan MT akan melaksanakan tugas-tugas pentadbiran untuk urusan penangguhan mesyuarat. Jadi jawatan pemimpin UMNO sekarang ini tertakluk kepada kelulusan permohonan penangguhan dan (semua) jawatan sekarang ini tergantung,” katanya di sini semalam.
Terdahulu RoS dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan UMNO menangguhkan pemilihan MT terkandung dalam minit Mesyuarat MT UMNO pada 7 Julai lalu.
RoS berpandangan keputusan itu tidak sah dan ketetapan itu adalah kerana tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
“RoS bertanggungjawab memastikan semua aktiviti dan pentadbiran pertubuhan berdaftar dilaksanakan sejajar dengan Perlembagaan Pertubuhan masing-masing yang tidak bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 atau undang-undang negara,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, pihaknya telah merujuk keputusan Ketua Pengarah RoS kepada peguam parti dan mereka menyatakan tiada sebarang kekhilafan pihaknya.
Kata beliau, pihaknya menerima surat daripada Ketua Pengarah RoS bertarikh 19 Julai lalu yang menyatakan pihaknya tiada halangan berhubung penangguhan pemilihan mengikut Perlembagaan UMNO Perkara 10.16.
“Pada 24 Jun lalu, saya memutuskan menghantar surat kepada RoS yang memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi untuk menangguhkan pemilihan yang sepatutnya berlangsung pada 30 Jun.
“Namun ketika mesyuarat MT pada 7 Julai telah mengabsahkan keputusan mesyuarat pada 18 Jun untuk menangguhkan pemilihan. Malah Ketua Pengarah RoS kemudian dalam satu surat pada 19 Julai pula menyebut pihaknya tiada halangan tentang penangguhan pemilihan mengikut Perlembagaan UMNO Perkara 10.16.
“Selain itu, saya telah menghantar surat kepada RoS pada 30 Julai berhubung minit mesyuarat MT bertarikh 7 Julai lalu yang mengabsahkan keputusan resolusi edaran pekeliling 18 Jun,” katanya.
Pada 29 Jun lalu, MT UMNO membuat keputusan itu selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu MT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan, namun penangguhan itu tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.
Ahmad dilaporkan berkata, beliau telah bertemu dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah RoS dan surat-surat jawapan diperoleh yang mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara maya.
“Namun, disebut dalam surat juga sekiranya tidak boleh dibuat secara dalam talian, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan apabila pandemik Covid-19 adalah terkawal,” katanya.
Ahmad menjelaskan, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat kerana khuatir berlaku kesilapan teknikal dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar adalah suatu masalah yang benar.
Terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan melibatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO meliputi 21,135 mesyuarat di peringkat cawangan, 21,058 mesyuarat peringkat cawangan wanita, 15,496 mesyuarat cawangan pemuda dan 8,598 mesyuarat peringkat cawangan puteri.
Selain itu, terdapat 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat iaitu di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri. – UTUSAN










