JOHOR BAHRU: Prestasi jemaah menteri Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dinilai masyarakat khususnya dalam tempoh 100 hari pentadbiran mereka menguruskan portfolio dipegang masing-masing.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, prestasi Perdana Menteri juga akan dinilai dalam tempoh itu sama ada beliau benar-benar akan mengambil tindakan tegas atau hanya memejam mata.
Katanya, hal itu bersandarkan kepada ucapan dibuat Perdana Menteri sendiri yang mahu membuktikan kepimpinan kerajaan dalam tempoh 100 hari.
“Masyarakat menilai lantikan jemaah menteri baharu sebagai kitar semula, tetapi ia mungkin dibuat kerana kepimpinan sedia ada telah menjalani proses pentadbiran dibawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu di mana pelbagai program termasuk vaksinasi telah dimulakan.
“Namun demikian, saya juga mahu lihat bagaimana Perdana Menteri akan mengambil tindakan terhadap prestasi menteri yang mungkin tidak menunjukkan prestasi memuaskan dalam tempoh 100 hari mereka.
“Kita akan lihat apakah mereka akan dibuang daripada jawatan atau hanya pejam mata,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri program Pemberian 1,000 Bakul Makanan kepada masyarakat Johor Bahru, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.
Sementara itu, Mohd. Hairi turut memberitahu, UMNO bagaimanapun tetap perlu melaksanakan perubahan secara drastik dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat negara ini kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Perubahan drastik perlu dilakukan UMNO, bukan hanya mencalonkan nama-nama baharu dalam PRU akan datang tetapi juga perubahan kepada dasar parti.
“Selain itu, akta bersesuaian seperti akta lompat parti juga perlu dilaksana selain mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang tidak menghormati parti dan institusinya,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE










