Akibat kluster kerja, Felda Tersang 1, 2 dan 3 sekali lagi kena PKPD - Utusan Malaysia

Akibat kluster kerja, Felda Tersang 1, 2 dan 3 sekali lagi kena PKPD

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah perkampungan skim tanah persekutuan dalam Daerah Raub, Pahang sekali lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula lusa iaitu melibatkan Felda Tersang 1, 2 dan 3 di Mukim Batu Talam susulan Kluster Jalan Batu Malim.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kementerian Kesihatan pada 24 Julai lalu memaklumkan ada 11 kes positif baharu Covid-19 hasil daripada saringan dilakukan melibatkan sejumlah 644 kontak rapat kluster itu.

Tanah rancangan berkenaan pernah dikenakan PKPD sejak 27 Mei sebelum dilanjutkan lagi sehingga 15 Jun lalu susulan penularan aktiviti ziarah sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Turut dilaksanakan PKPD dalam daerah yang sama ialah Felda Krau 1 di Mukim Gali yang akan berkuat kuasa juga selama 14 hari mulai Khamis ini sehingga 18 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Menurut Hishammuddin, PKPD juga dilaksanakan di Terengganu meliputi Taman Rakyat Bestari Fasa 1 hingga 4 serta Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2 di Bukit Kluang, Mukim Telok Kalong, Daerah Kemaman selain Mukim Manir, Daerah Kuala Terengganu.

Katanya, di Sabah, empat lokaliti terlibat PKPD iaitu Kampung Banjar, Daerah Keningau; Penampang Baru, Daerah Penampang; Depot Tahanan Imigresen Tawau dan Kem 3 Sibulu, Daerah Tenom.

Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan, Kampung Bintawa Hilir, Bahagian Kuching, Sarawak yang sepatutnya tamat PKPD hari ini, namun disambung lagi sehingga 17 Ogos, manakala Kampung Sungai Tapang ditamatkan PKPD seperti dijadualkan.

Selebihnya, sejumlah 12 lokaliti di Sabah turut ditamatkan PKPD esok iaitu Kampung Guruh-Guruh, Daerah Sipitang; Kampung Sri Menanti, Daerah Tawau serta Kampung Air dan Kampung Bokara, Daerah Sandakan selain lapan lagi lokaliti dalam Daerah Kota Kinabalu meliputi Kampung Pondo, Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya, Kampung Sinulihan, Kampung Mogidang Malawa dan kuarters pekerja Progresif Perwira, Kilang Papan Lusera Telipok serta Kondominium University Utama Fasa 2. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN