Ahmad Bashah dihina tidak pernah lapor polis - Utusan Malaysia

Ahmad Bashah dihina tidak pernah lapor polis

AHMAD BASHAH MD. HANIPAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Walaupun sering dihina dengan pelbagai kata kesat seperti ‘Mat Lena’, dan ‘Menteri Besar SPM’ namun tidak satu laporan polis pernah dibuat oleh bekas Menteri Besar, Ahmad Bashah Md. Hanipah ketika pentadbirannya.

Malah menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Ahmad Bashah jugalah yang sering menenangkan pegawai-pegawainya ketika berdepan penghinaan seumpama itu dan melarang mereka mengambil apa-apa tindakan undang-undang.

“Apabila Ahmad Bashah diangkat menjadi Menteri Besar pada pertengahan 2016, beliau terus dimaki nista oleh netizen yang mengidolakan bekas menteri besar’ melalui laman media sosial.

“Lebih menyedihkan pada tahun yang sama sehari sebelum Ramadan, beliau jatuh di sebuah hotel sewaktu perjumpaan bersama wakil rakyat UMNO akibat masalah usus,  sosok tubuh bos saya ini terus menerima nista di dalam media sosial.

Kata-kata pedih seperti ‘jamban bergerak’ tetapi tak pernah satu pun laporan polis dibuat kepada penghina dan penista,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Bashah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 dari 4 Februari 2016 hingga 10 Mei 2018.

Shaiful Hazizy yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Ahmad Bashah menulis demikian sebagai mengulas empat individu ditahan selepas mereka didakwa menulis perkataan jelik dan menghina Menteri Besar Kedah sekarang, Muhammad Sanusi Md. Nor di Facebook, baru-baru ini.

Beliau menambah, lebih mencabar apabila insan yang banyak berkorban demi menyara pasukan kegemaran dan kesayangan rakyat Kedah iaitu Lang Merah dibalas dengan laungan “Boooooooooo” bergema di Stadium Darulaman.

“Penghinaan ini bukan terhenti di negeri sendiri, namun berterusan di Stadium Bukit Jalil sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia, kali ini di hadapan Sultan Selangor dan Tunku Mahkota Johor.

“Saya dan barisan pegawai pada waktu itu amat marah dan mahu sesuatu dilakukan kerana bos kami pada waktu itu dilondeh dan dihina sedemikian rupa, tapi sosok tubuh yang dihina dan dimalukan itu sekadar berkata, “Biarlah… kita buat kerja kita,” katanya.

 Tambahnya, sebagai pegawai yang pernah berkhidmat di bawah bekas menteri besar itu, beliau berbangga dengan jiwa besar, sabar dan ketenangannya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN