64 jam semarak program kemerdekaan - Utusan Malaysia

64 jam semarak program kemerdekaan

KOMUNITI Warga Prihatin, Taman Lestari Putra, Seri Kembangan Selangor menyemarakkan program kemerdekaan dengan memasang 1,064 bendera dan menaikkan logo Malaysia Prihatin setinggi 6.064 meter. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebagai usaha menyemarakkan program kemerdekaan, komuniti Warga Prihatin, Taman Lestari Putra, Seri Kembangan Selangor sepakat membangkitkan semangat Hari Kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh kawasan perumahan itu.

Sebanyak 1,064 bendera dipasang sepanjang jalan dan di kawasan rukun tetangga dengan menggalakkan setiap rumah menaikkan sekurang-kurangnya satu bendera bagi menzahirkan semangat patriotik.

Program berkenaan ternyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada setiap penduduk yang digerakkan selama 64 jam tanpa henti sebagai simbolik 64 tahun usia kemerdekaan tanah air.

Acara kemuncak program itu adalah menaikkan banner logo Malaysia Prihatin setinggi 6.064 meter di kawasan tumpuan penduduk sekali gus membangkitkan suasana bersejarah yang patut diingati setiap rakyat.

SEBAHAGIAN komuniti Warga Prihatin, Taman Lestari Putra, Seri Kembangan Selangor menyemarakkan program kemerdekaan dengan memasang 1,000 bendera dan menaikkan banner logo Malaysia Prihatin setinggi 20 kaki.

Jurucakap Warga Prihatin berkata, acara sedemikian digerakkan lebih awal bermula awal Ogos dengan membuat pelbagai program seperti pertandingan menghias rumah melalui Kempen kibar Jalur Gemilang.

Selain itu, katanya, kempen kebersihan turut dijalankan iaitu acara joging sambil mengutip sampah atau dipanggil plogging di sepanjang laluan riadah dan pejalan kaki bagi mencantikkan kawasan perumahan dengan ganjaran lumayan menanti peserta.

“Kita tidak mahu mencacatkan program kemerdekaan ini dengan sampah sarap yang boleh menjejaskan pemandangan selepas kawasan perumahan dipenuhkan dengan kibaran bendera.

“Jadi kita galakkan penduduk untuk menjaga kebersihan kawasan di samping berusaha mencantikkan perumahan dengan warna Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui semalam.

Inisiatif Warga Prihatin itu juga bertujuan menerapkan semangat patriotik dalam kalangan anak-anak muda dan kanak-kanak agar mereka lebih menghargai kemerdekaan yang tidak pernah merasai kesusahan nenek moyang mereka di zaman penjajah.

Melalui aktiviti sebegini, ia sedikit sebanyak mampu menanam sikap cintakan tanah air tanpa dicemarkan dengan perbuatan negatif yang boleh memburukkan nama negara. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN