600 datang vaksin walk-in di PPV Movenpick - Utusan Malaysia

600 datang vaksin walk-in di PPV Movenpick

SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir menerima vaksin Covid-19 di PPV Movenpick, Sepang yang dibuka secara walk-in. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG : Vaksinasi secara walk in bagi golongan 18 tahun ke atas yang bermula hari ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen & Hotel Movenpick KLIA di sini terus menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan menyaksikan kira-kira 600 individu hadir setakat pukul 3 petang semalam

Ketua Penyelarasnya, Dr. Noraziah Abdul Karim berkata, inisiatif itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila orang ramai sudah mula beratur sejak pukul 1 tengah hari meskipun hanya dibuka pada 2 petang.

PENERIMA vaksin berumur 18 tahun hadir menerima suntikan vaksin dos pertama secara walk-in ketika hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Sepang semalam UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Seorang penerima Sindrom Down, Mohamad Fitri Mohd. Som, 23, jelas teruja apabila menerima vaksinasi hari ini selepas dia terlepas tarikh janji temu berikutan ahli keluarga yang lain perlu dikuarantin kerana positif Covid-19 pada 15 Julai lalu.

Kakaknya, Siti Aisyah Mohd. Som berkata, adik bongsunya itu sepatutnya menerima suntikan vaksin pada 16 Julai lalu di Dewan Salak Tinggi di sini namun tetapi terpaksa melepaskan tarikh janji temu tersebut.

“Kami enam sekeluarga positif Covid-19 tetapi Fitri tidak dijangkiti virus dan dia diasingkan di sebuah bilik khas bersama seorang lagi abangnya yang juga orang kelainan upaya.

“Saya bawa Fitri ke sini secara walk-in kerana konsep ini lebih dan senang berbanding menunggu notifikasi MySejahtera. Lagipun disebabkan kami pernah positif, ia salah satu langkah berjaga-jaga,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di PPV tersebut hari ini.

Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Nur Azshariena Sanip, 27, dan Shaffiq Reza Mohd. Tauhid, 37, mereka mengambil peluang vaksin secara walk in kerana juga terlepas janji temu vaksinasi sebelum ini di Sabak Bernam berikutan ketiadaan pengasuh untuk menjaga anak mereka.

“Apabila dapat walk-in, saya dapat bergilir dengan suami untuk menjaga anak dan pada masa sama tidak terlepas peluang vaksin. Memang kena berjaga-jaga untuk keselamatan keluarga dalam keadaan kes yang tinggi sekarang,”katanya.

 

Pandangan sama turut dikongsikan, Muhammad Aliff Najmie Rasid, 20, yang mengikut pesanan ibunya supaya segera mengambil suntikan vaksin Covid-19.

“Saya kira usaha kerajaan mewujudkan konsep vaksin walk in di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk golongan belia tepat pada masanya ketika angka jangkitan Covid-19 negara kini melonjak tinggi,”katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN