TAMPIN: Penularan Covid-19 memberi dugaan besar buat seorang wanita apabila 21 ahli keluarganya disahkan positif manakala ibu dan bapanya meninggal dunia akibat jangkitan pandemik tersebut.
Noorsafurah Mohd. Yassin, 35, berkata, pada mulanya, empat ahli keluarga kakaknya yang menetap di Seremban termasuk anak buahnya yang sedang hamil disahkan positif Covid-19 pada Mei lalu namun kesemuanya sudah pulih.
Bagaimanapun, menurutnya, keluarganya sekali lagi diduga apabila dia mula mengalami gejala demam pada 24 Jun lepas diikuti rasa perit dan hidung berair pada 27 Jun lalu.
“Saya kemudian menjalani ujian calitan di Hospital Tampin dan keesokan iaitu pada 28 Jun yang juga hari lahir saya, disahkan positif Covid-19.
“Tidak tahu dari mana saya mendapat jangkitan kerana hanya berulang-alik ke tempat kerja dan membawa ibu ke pusat vaksin di Gemas pada 22 Jun manakala ayah pula baru sahaja keluar dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah ekoran ketumbuhan otak dan pelbagai penyakit lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Noorsafurah yang baru sahaja kematian suami setahun lalu berkata, selepas dia positif Covid-19, kesemua 20 ahli keluarga yang tinggal bersama dan berdekatan rumahnya menjalani ujian calitan.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 19 orang daripada ahli keluarganya termasuk empat anaknya berusia empat hingga 12 tahun didapati positif jangkitan berkenaan.
“Pada 28 Jun, ayah, Mohd. Yassin Mansor, 74, disahkan positif dan dibawa ke HTAN sebelum dipindahkan ke Hospital Jelebu kerana memerlukan bantuan pernafasan. Pada 3 Julai, ayah disahkan meninggal dunia dan ini benar-benar mengejutkan kami sekeluarga.
“Betapa sedihnya saya kerana memang tinggal bersama ayah di Rumah Rakyat Repah walaupun sudah berkahwin. Kemudian, ibu, Halijah Amin, 70, pula disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban tiga hari selepas kematian ayah juga akibat jangkitan Covid-19,” katanya.
Ekoran kejadian yang menimpa katanya, dia perlu menguatkan diri dengan mendapat sokongan daripada lapan beradik yang membantunya untuk lebih positif menghadapi ujian itu.
“Saya amat berharap agar orang ramai dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan lokasi yang paling selamat pada masa kini adalah di rumah masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE










