16 laluan tikus PKPD 6 lokaliti Pulau Pangkor dikenal pasti - Utusan Malaysia

16 laluan tikus PKPD 6 lokaliti Pulau Pangkor dikenal pasti

NOR Omar Sappi (dua dari kiri) memeriksa kawat duri yang dipasang di kawasan PKPD di Pulau Pangkor hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis mengenal pasti 16 laluan tikus di enam lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pulau Pangkor di sini, bermula semalam sehingga 21 Ogos ini.

Sehubungan itu, polis melakukan pemantauan di semua laluan tersebut termasuk memasang kawat duri di tujuh kawasan, sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama serta melakukan rondaan berkala di perairan berhampiran lokaliti terlibat.

Enam lokaliti tersebut ialah Taman Seri Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Ladang Kong Heap Lee, Kampung Tengah, Flat Taman Desa Pangkor dan Taman Desa Pangkor.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pelaksanaan PKPD di enam lokaliti itu melibatkan 780 rumah dihuni 2,252 penduduk dengan 70 peratus daripada mereka adalah nelayan.

“Sebarang aktiviti atau pergerakan keluar dan masuk ke enam lokaliti tersebut tidak dibenarkan dalam tempoh berkenaan.

“Oleh itu, saya ingin mengingatkan penduduk kawasan terlibat supaya tidak mencuri keluar atau menangkap ikan di laut kerana dua bot Pasukan Polis Marin (PPM) kini melakukan rondaan secara berkala di sepanjang perairan Pangkor,” katanya selepas meninjau kawasan PKPD tersebut hari ini.

Menurut Nor Omar, pihaknya sudah melakukan hebahan bagi mengingatkan penduduk mengenai larangan tersebut.

Beliau memahami kesan dan masalah dihadapi penduduk di kawasan tersebut terutama nelayan yang tidak dapat keluar ke laut berikutan penguat kuasaan PKPD itu tetapi berharap mereka bersabar dan bekerjasama bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Jelasnya, pihak bertanggungjawab akan menyalurkan bantuan terutama bahan makanan kepada penduduk dan setakat hari ini berpuas hati dengan tahap pematuhan penduduk.

“Seramai 63 anggota membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan bertugas sepanjang tempoh PKPD itu,” katanya.

Nor Omar juga berkata, polis akan mempergiat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di daerah Manjung terutama di Pulau Pangkor berikutan pembukaan semula sektor pelancongan dalam negeri menerusi Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula esok.

Beliau menjelaskan tiada larangan ke Pulau Pangkor termasuk untuk melancong bagi mereka yang sudah lengkap divaksin kecuali memasuki kawasan pelaksanaan PKPD dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya