GEORGETOWN: Seorang warga Bangladesh terpaksa memanjat pagar rumah kedai di Jalan Penang di sini dalam keadaan sebahagian badannya melecur akibat kebakaran di bilik kediaman dua tingkat itu petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi, mangsa berusia 41 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai yang tiba ke lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa ialah penjaga premis berkenaan yang merupakan salah sebuah bangunan warisan yang terletak di pusat bandar Georgetown.
Pegawai Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat, Muzamer Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 3.13 petang dan tiba kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran berlaku di bilik bawah rumah kedai dua tingkat dengan anggaran kemusnahan 20 peratus.
“Ketika tiba, mangsa yang ditemukan dalam keadaan melecur di bahagian badan hingga muka itu terus dibawa dengan MERS bomba ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.
“Kita dimaklumkan mangsa sebelum itu cuba menyelamatkan diri dengan melompat pagar rumah kedai untuk meminta bantuan orang awam. Keadaannya ketika itu stabil dan masih sedar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muzamer memberitahu, operasi memadam kebakaran itu mengambil masa hampir dua jam dan pihaknya turut berdepan kesukaran berikutan pintu pagarnya yang berkunci serta laluan sempit.
Jelasnya, operasi memadamkan kebakaran turut mendapat kerjasama pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak.
Tambahnya, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – UTUSAN ONLINE