Vaksin pekerja industri dipercepat 3,000 dos sehari - Utusan Malaysia

Vaksin pekerja industri dipercepat 3,000 dos sehari

MOHAMAD Rafie Ab. Malek mengadakan lawatan di PPV Outreach DUN Ampangan di Dewan Besar Gadong Lalang, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah suntikan harian vaksin Covid-19 pada kadar 3,000 dos sehari kepada pekerja industri di Negeri Sembilan akan dipercepatkan di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, langkah penstrukturan semula jumlah sebenar keperluan dos vaksin Covid-19 di dua buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di negeri ini dapat memastikan sektor perkilangan dan perindustrian bebas daripada pandemik Covid-19.

“Penilaian (jumlah suntikan harian) sedang dibuat oleh pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mempercepatkan proses vaksinasi pekerja industri.

“Setakat ini, PPV PIKAS di d’Tempat Country Club, Sendayan yang dibuka pada 5 Julai lalu menawarkan jumlah suntikan harian pada kadar 1,500 dos sehari dan kita yakin jumlah vaksinasi akan ditingkatkan menjadi dua kali ganda kepada 3,000 dos sehari selepas PPV itu dibuka semula minggu depan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan berkata demikian dalam akhbar selepas mengadakan lawatan di PPV Outreach DUN Ampangan di Dewan Besar Gadong Lalang di sini hari ini.

Jelas Mohmad Rafie lagi, usaha mempercepatkan proses vaksinasi pekerja industri ini juga disokong dengan pembukaan PPV PIKAS di D’Cattleya Senawang pada 2 Ogos depan yang dijangka akan menyediakan 3,000 dos suntikan sehari.

Beliau berkata, beberapa langkah perlu dibuat dalam usaha memastikan premis perindustrian bebas daripada Covid-19 dan dapat berjalan secara optimum bagi menjana semula ekonomi negara.

“Usaha mempercepat proses vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor perindustrian perlu dilaksanakan segera, kita tidak mahu ia memberi kesan kepada ekonomi dan tiada lagi kluster kilang.

“Pihak pengurusan perlu memastikan setiap pekerja memperoleh vaksin dan setiap individu termasuk pekerja yang memasuki premis perindustrian perlu disaring uji terlebih dahulu secara 100 peratus dan hanya mereka yang bebas gejala Covid-19 sahaja yang dibenarkan masuk ke kilang,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai PPV Outreach Dun Ampangan, Mohamad Rafie berkata, pihaknya menyasarkan 1,000 penduduk sekitar menerima vaksin Covid-19 pada sesi pertama yang dibuka hari ini.

“PPV Outreach ini terdiri daripada penerima vaksin daripada lokaliti yang sama, di mana penduduk setempat mudah mendapatkan vaksin tanpa perlu pergi ke PPV yang jauh dari rumah dan mempunyai masalah pengangkutan.

“Masyarakat menyambut baik idea mengadakan PPV Outreach ini kerana mereka rasa selesa, malah ada juga warga emas berusia 60 tahun yang belum divaksin mendapatkan suntikan di sini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN