PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen menegakkan keadilan dan menghukum pelaku terlibat dalam tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.
Menerusi kenyataan bersama menteri luar dari negara ini dengan Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine, mereka turut menzahirkan ingatan simpati terhadap waris mangsa terbabit.
“Walaupun tiada apa dapat mengembalikan nyawa yang terkorban dan kedukaan keluarga mangsa, kami komited cari kebenaran dan keadilan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Insiden pesawat malang MH17 dibedil peluru berpandu ketika penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur dekat sini, telah meragut kesemua 283 penumpang serta 15 kru.
Pesawat model Boeing 777-200ER itu terhempas dekat Hrabove, Donetsk Oblast, wilayah timur Ukraine dikuasai pemberontak pemisah pro-Rusia ketika krisis perang saudara meletus.
Tragedi yang mengejutkan dunia itu secara kebetulan berlaku selang empat bulan selepas misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Mengulas lanjut, kenyataan bersama sempena ulang tahun ketujuh MH17 itu turut mengulangi keazaman semua negara terlibat menerusi Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) demi keadilan mangsa.
“Kami juga mempunyai keyakinan penuh ke atas prosiding jenayah yang bebas, terbuka dan tidak berat sebelah terhadap dalang terbabit atas dakwaan kes pembunuhan tersebut,” katanya.
Meskipun tidak menyatakan secara terperinci, kenyataan itu jelas merujuk proses pendakwaan terhadap beberapa suspek yang terdiri daripada pegawai tentera warga Rusia dan Ukraine.
Kerajaan Rusia bagaimanapun setakat ini tidak mengiktiraf prosedur perbicaraan tersebut kerana menyifatkan prosedur kehakiman itu sebagai tidak adil dan lebih bersifat prasangka.
Lima menteri luar dari negara terbabit dalam JIT itu menerusi kenyataan bersama tersebut namun optimis meneruskan kerjasama dan sokongan penuh kepada proses perundangan.
“Kami akan membuktikan kebenaran apa yang telah berlaku dan tidak lupa mengulangi perasaan simpati kepada keluarga serta orang yang dikasihi dalam insiden MH17,” katanya. – UTUSAN ONLINE










