JELEBU: UDA Holdings Bhd. (UDA) akan kekal melaksanakan insentif pengecualian sewaan premis miliknya kepada penyewa yang terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19 yang berterusan.
Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah itu terus diambil kerana pihaknya memahami kesukaran yang dialami terutama dalam kalangan peniaga-peniaga kecil.
“Seperti biasa, UDA akan memberikan program insentif kepada penyewa-penyewa premis UDA di seluruh negara terutama premis yang tidak boleh menjalankan perniagaan ekoran PKP.
“Subsidi atau pengecualian sewa premis kepada mereka yang terjejas akan terus diberikan oleh UDA bagaimanapun jumlah keseluruhan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian kepada pemberita pada Program Imunisasi Covid-19 Kepada Ketua Masyarakat Orang Asli Daerah Jelebu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan D’sury, Kuala Klawang dekat sini hari ini.
Sementara itu, beliau berpandangan, peruntukan sebanyak RM300,000 yang diberikan kepada setiap ahli Parlimen sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sangat membantu rakyat yang terkesan dan menghadapi tekanan ekonomi akibat Covid-19.
“Sebagai ahli Parlimen, saya menyambut baik pengumuman peruntukan sebanyak RM300,000 itu termasuk kepada ahli Parlimen pembangkang.
“Jumlah itu tidak mencukupi tetapi bagi saya ia sedikit sebanyak boleh membantu. Peruntukan itu perlu digunakan semaksimum mungkin,” katanya. -UTUSAN










