Tangki bahan kimia pecah, mengalir ke sungai - Utusan Malaysia

Tangki bahan kimia pecah, mengalir ke sungai

UNIT Hazmat melakukan pemeriksaan terhadap air sungai yang didapati tercemar akibat tumpahan bahan kimia di Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sebuah tangki menyimpan sejumlah 1,000 liter bahan kimia di dalam stor simpanan di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang di sini didapati pecah dalam satu kejadian, malam tadi.

Akibat daripada itu, tumpahan bahan kimia tersebut dikesan mengalir ke dalam sungai pada pukul 8.20 malam menyebabkan beberapa penduduk mengalami gejala pening dan muntah.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Tinggi II Bahtiar Selamat berkata, sehubungan itu seramai 21 pegawai dan anggota beserta tiga jentera dikejar ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, turut terlibat dalam operasi tersebut adalah unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).

“Siasatan mendapati terdapat tumpahan bahan kimia di lokasi melibatkan Methyltriocdylam Monium Chloride, Hydrogen Peroxide Solution dan N-Methyl Cyclohexylamine.

“Bomba kemudian membuat pemantauan di sekitar lokasi dan mendapati terdapat stor simpanan yang berkeluasan 80 kaki x 80 kaki berada tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan dalam stor mendapati 30 tangki simpanan mengandungi bahan alkali dan satu daripada tangki berkenaan telah pecah menyebabkan bahan kimia mengalir ke sungai berhampiran.

“Sehubungan itu, bomba telah bertindak membuat tiga lapisan benteng bagi menghalang bahan buangan tersebut daripada berterusan mengalir ke dalam sungai.

“Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 2.33 pagi, hari ini selepas kawasan sekitar dipastikan selamat,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, pihaknya telah membuat laporan dan aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kejadian tersebut bagi tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN