Tak perlu tergesa-gesa suntikan dos ketiga - Utusan Malaysia

Tak perlu tergesa-gesa suntikan dos ketiga

PETUGAS perubatan menyediakan vaksin di salah satu Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian suntikan dos ketiga ataupun boos­ter vaksin Covid-19 tidak perlu dibuat secara secara tergesa-gesa kerana ia tidak menjanjikan kekebalan penuh kepada badan manusia.

Bercakap dengan Utusan Malaysia, Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, pakar-pakar yang terlibat dengan kajian berkait suntikan dos ketika perlu mencari inisiatif untuk mengkaji kadar ketahanan setiap individu selepas divaksin.

“Yang penting kalau kita boleh mencari satu penyele­saian untuk menentukan kadar ketahanan antibodi setiap individu bagi mengenal pasti siapa yang memerlukan suntikan dos tambahan vaksin itu.

“Sekiranya kita dapat membuktikan sama ada badan kita telah mendapat imuniti yang cukup maka tiada keperluan untuk kita mengambil lebih dos selain ia juga dapat mengurangkan kos kerajaan dengan hanya membeli mengikut keperluan,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Tambah Zulkornain, pada golongan yang telah lengkap mengambil kedua-dua dos, harus faham mereka masih terdedah untuk dijangkiti.

“Vaksin bukanlah satu jaminan untuk kita tidak langsung akan dijangkiti virus ini tetapi dengan adanya vaksin maka kadar keberjangkitan juga akan menjadi rendah.

“Sekiranya dijangkiti maka simptom-simptom yang dialami tidaklah begitu teruk seperti mereka yang belum divaksin,” katanya.

Sementara itu, Pre­siden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh turut senada tidak perlu tergesa-gesa untuk mendapatkan dos ketiga bagi melawan kemunculan varian Delta Covid-19 yang merupakan “va­riant of concern” malah masih terlalu awal bagi memutuskannya kerana ia memerlukan kajian data yang lebih terperinci.

“Ini kerana pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 masih memerlukan kajian data terpe­rinci golongan mana yang perlu diutamakan.

“Adalah penting untuk kita kaji terlebih dahulu golongan mana yang perlu diutamakan supaya tidak berlaku isu seperti sebelum ini iaitu golongan yang bekerja masih tidak menerima suntikan dos yang lengkap.

“Tidak perlu terburu-buru memperoleh vaksin untuk dos ketiga. Kita perlu fokus kepada dos pertama dan dos kedua dahulu, iaitu memberi perlindu­ngan kepada mereka yang tiada perlindu­ngan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN