PUTRAJAYA: Pengawalseliaan Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu solusi interim yang tidak akan mengubah sifat asal sebagai agensi unggul khususnya dalam pengurusan jemaah haji.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, TH tetap kekal melaksanakan fungsinya sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535].
Menurutnya, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) manakala dari sudut TH pula, Lembaga Pengarah dan badan pengurusannya tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju serta pengurusan dan operasi haji.
“Usaha kawal selia TH dari sudut pengambilan deposit serta pengurusan risiko dan kecairan oleh BNM ini adalah satu solusi interim yang akan dilaksanakan sehingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan selanjutnya.
“Memandangkan TH menerima deposit daripada bakal jemaah haji dan orang ramai dan kerajaan tetap menjamin wang simpanan pendeposit dalam TH di bawah Akta 535, maka amat wajar simpanan pendeposit ini dikawal selia dengan lebih baik untuk memastikan bakal jemaah haji akan dapat mengerjakan rukun Islam kelima dan TH dapat terus menjana pendapatan dari pelaburan yang patuh syariah,” katanya semalami.
Kementerian Kewangan menjelaskan, penambahbaikan kawal selia TH adalah selaras dengan hasrat kerajaan supaya TH kembali kepada mandat asal penubuhannya iaitu menguruskan simpanan pendeposit untuk tujuan menunaikan haji di samping simpanan bagi pelaburan.
Katanya, TH merupakan sebuah institusi kewangan yang dianggap penting kepada sistem kewangan Malaysia, berikutan jumlah depositnya yang kini mencecah RM82 bilion dan saling hubung yang rapat dengan sistem kewangan, terutamanya sebagai pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).
Ujarnya, penetapan kawal selia di bawah BNM yang masih berlandaskan konsep syariah akan memantapkan tadbir urus dan memastikan tiada penyalahgunaan dana yang boleh memaksa kerajaan menggantikan wang pendeposit disebabkan jaminan kerajaan.
Kementerian Kewangan juga sedia maklum akan perbezaan mandat dan peranan TH berbanding institusi perbankan yang lain.
Justeru, Kementerian Kewangan dalam kenyataan itu menegaskan bahawa skop pengawal seliaan BNM pada waktu ini sementara menunggu selesainya RCI, adalah tertumpu hanya kepada pengambilan deposit serta pengurusan risiko dan kecairan, dengan rangka kerja pengawal seliaan yang berbeza dari peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain.
Jelasnya, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang dianggotai para cendekiawan Syariah dan individu yang berpengetahuan, berpengalaman dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa. – UTUSAN ONLINE










