KOTA KINABALU: Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 60 peratus penduduk menerima vaksin Covid-19 menjelang awal November ini.
Sasaran itu dilihat mampu dicapai dengan pelaksanaan pelbagai program termasuk Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di kawasan luar bandar dan pedalaman yang diselaraskan oleh Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata, sehingga semalam seramai 48,443 orang penerima telah divaksin melalui program outreach (jerayawara) di 147 lokasi di seluruh Sabah.
“Melalui program ini, kita memberi fokus kepada pendaftaran dan pemberian vaksin di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai capaian internet yang baik dengan kerjasama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
“Berdasarkan pemerhatian, berlaku peningkatan sembilan peratus penerima vaksin di setiap lokasi program jerayawara berbanding jumlah penerima yang berdaftar.
“Ini bermakna masih ada penerima datang secara walk-in di setiap daerah dan petugas kesihatan akan memastikan mereka ini turut diberikan vaksin,” katanya kepada pemberita pada Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Dewan Serbaguna Sungkadon Mositun, Papar hari ini.
Sementara itu, PPM Limbahau, Datuk Johnny Mositun berkata, sebanyak 2,000 dos vaksin dibekalkan untuk program jerayawara selama dua hari ini dan fokus diberikan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau.
Pada masa ini, 3,394 penduduk Limbahau sudah berdaftar sebagai penerima vaksin dan bekalan 2,000 dos itu pastinya tidak mencukupi. Maka, beliau berharap bekalan akan diberikan pada minggu-minggu akan datang bagi membolehkan program sebegitu dapat dilaksanakan.
Jelas beliau, secara keseluruhan seramai 15,000 orang penduduk yang layak divaksin di kawasan DUN Limbahau dan usaha mendaftarkan mereka masih dilakukan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ketua kampung.
Kemudian borang pendaftaran yang lengkap akan dikumpulkan di Pejabat PPM agar senarai penerima vaksin boleh diselaraskan dengan data penerima di CITF daerah.
Bagaimanapun katanya, mereka tidak galakkan individu datang secara walk in kerana keutamaan diberikan kepada penerima yang sudah berdaftar sama ada melalui MySejahtera mahupun melalui borang yang dikeluarkan pejabat PPM.
Tambah beliau, senarai nama penerima vaksin mula didaftarkan melalui pejabat PPM pada 30 April lalu sebagai usaha itu dilakukan bagi memudahkan proses pendaftaran bagi penduduk yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera.
Malah, ramai yang datang sejak pagi tadi mengadu belum menerima tarikh janji temu biarpun mereka sudah mendaftar sejak Februari melalui MySejahtera.
Johnny berkata, program vaksinasi sebegitu akan diteruskan agar tiada sesiapa yang ketinggalan daripada menerima vaksin di kawasan DUN Limbahau.- UTUSAN ONLINE










