Senator boleh dilantik sebelum angkat sumpah - Utusan Malaysia

Senator boleh dilantik sebelum angkat sumpah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senator boleh dilantik dan disambung perkhidmatan sebelum mengangkat sumpah melalui surat pelantikan, memandangkan 25 senator akan tamat tempoh perkhidmatan pada Julai dan Ogos ini sedangkan tarikh Parlimen masih belum ditetapkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, majlis angkat sumpah boleh diadakan selepas ini memandangkan tempoh pelaksanaan darurat berakhir pada 1 Ogos.

“Pelantikan boleh dilewatkan sementara pelantikan fizikal ditangguhkan jadi surat pelantikan diberikan dahulu.

“Majlis angkat sumpah tetap perlu diadakan tetapi boleh dilakukan pada bulan Ogos kerana darurat berakhir pada 1 Ogos, jadi tidak timbul isu pelantikan senator dan saya berharap tidak ada perubahan di Dewan Negara. Cukup masa untuk angkat sumpah, kita akan formalisasikan pelantikan senator,” katanya.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin akan menamatkan khidmatnya sebagai senator pada 16 Julai ini manakala Timbalan Menteri Perpaduan, Datuk Seri Ti Lian Ker akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 9 Ogos ini.

Tujuh lagi Ahli Dewan Negara turut berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri antaranya Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal namun tempoh mereka hanya akan berakhir pada 2023.

Pada masa sama, Rais mengakui khidmat 25 orang senator akan berakhir dalam tempoh Julai dan Ogos ini, namun memberi jaminan pelantikan baharu akan diadakan sebaik sahaja Parlimen mula bersidang memandangkan pelantikan boleh dibuat untuk penggal kedua.

“Senator yang merupakan wakil negeri akan dilantik di Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong akan melantik ahli-ahli senat mengikut perutusan Perdana Menteri. Jadi, apabila Parlimen dibuka nanti, insya-Allah akan ada senator yang disambung dan proses itu diadakan sekitar bulan Ogos.

“Ada muka lama dan ada muka baharu, ia bergantung kepada budi bicara pihak yang mengemukakan nama untuk dilantik. Kalau tempoh perkhidmatan tiga tahun boleh disambung, kalau enam tahun sudah tidak boleh disambung,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×