Seminggu cucu pujuk nenek 92 tahun untuk vaksin - Utusan Malaysia

Seminggu cucu pujuk nenek 92 tahun untuk vaksin

HENRY Sum Agong (kiri) dan Mas Ermieyati Samsudin (dua dari kanan) menyantuni Pucat Lobak selepas warga emas itu selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang warga emas Orang Asli, Pucat Lobak, 92, menjadi penerima tertua vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) di Kampung Orang Asli Bukit Payung di sini.

Menurut Pucat, dia hadir ke PPVB bersama cucunya, Asiah Jegap, 37, untuk mengambil suntikan vaksin sempena program outreach anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Menurutnya, dia bersetuju untuk menerima suntikan kerana berulang kali diajak cucunya, selain bimbang dengan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

“Tidak sakit pun (suntikan) dan sekejap sahaja dah selesai,” katanya ketika ditemui pemberita.

Program tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, Asiah memberitahu, dia mengambil masa seminggu bagi memujuk neneknya supaya bersetuju untuk menerima suntikan vaksin.

Asiah berkata, neneknya yang dikatakan berumur 120 tahun pada awalnya enggan disuntik kerana banyak mendengar cakap-cakap negatif dan khabar angin yang tidak tepat mengenai vaksin.

“Orang zaman sekarang macam-macam berita dia dapat. Hampir seminggu juga saya pujuk nenek untuk datang hari ini.

“Saya terangkan kebaikan vaksin kepada nenek dan beritahu dia Covid-19 sudah semakin dekat dengan kawasan tempat tinggal. Selepas itu baru dia bersetuju,” katanya.

Seramai 314 penduduk Orang Asli yang layak menerima vaksin Covid-19 hadir ke program berkenaan berbanding jangkaan awal iaitu seramai 230 orang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN