JOHOR BAHRU : Tanpa mengambil kisah orang ramai yang lalu lalang, dua beradik, Mohammad Hong June Hit, 13, dan adiknya, Zaskia Hong Xin Yi, 11, tekun mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bagaimanapun, dua beradik itu bukannya belajar di rumah atau tempat yang selesa, tetapi, di laluan pejalan kaki di hadapan pintu masuk sebuah bank di Bandar Baru Permas Jaya, di sini.
Keadaan itu tidak menghalang Mohammad Hong yang bercita-cita menjadi seorang anggota polis dan Zaskia mahu bergelar peguam terus fokus dalam PdPR menggunakan telefon bimbit dan buku teks.
Mohammad Hong merupakan pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas 2, manakala adiknya belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa 2 dalam darjah lima.
Jurufoto Utusan Malaysia yang melalui kawasan itu sempat merakamkan aksi dua beradik berkenaan belajar sambil duduk di laluan pejalan kaki sementara menunggu ibu mereka yang berurusan di dalam bank berkenaan.- UTUSAN ONLINE










