Semak tidak diselenggara di lapangan terbang punca kerap kebakaran - Utusan Malaysia

Semak tidak diselenggara di lapangan terbang punca kerap kebakaran

ANGGOTA bomba memadam kebakaran DI tapak bekas Padang Terbang Sitiawan di Lumut baru-baru ini. - PEMBERITA: SHAMSUL KAMAL AMARUDIN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar mempersoalkan tindakan agensi berkaitan yang membiarkan bekas tapak bekas Padang Terbang Sitiawan di sini ditumbuhi lalang dan semak samun sebelum terbakar pada 22 Julai lalu.

Persoalan itu ditimbulkan dalam Facebook beliau susulan kejadian kebakaran itu yang mengakibatkan kepulan asap tebal dan banyak di udara dan boleh dilihat sehingga lebih satu kilometer.

Mohd. Ikhmal turut memuat naik jawapan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh yang menjelaskan kawasan padang seluas enam hektar yang kini dikenali sebagai Padang Astaka, bukan di bawah penyelenggaraan MPM.

Dalam jawapan itu, Syamsul Hazeman menyatakan tanah itu adalah milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan diselenggara oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Difahamkan, telah diserahkan kepada TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) sebagai padang latihan penerbangan.

“MPM tidak terlibat langsung dalam penyelenggaraan dan tidak boleh dipertanggungjawabkan tentang kejadian kebakaran di kawasan tersebut. Terima kasih,” jawab Syamsul Hazeman kepada Mohd. Ikhmal.

Mohd. Ikhmal menyatakan beliau memuat naik maklum balas Syamsul Hazeman untuk berlaku adil kepada MPM kerana padang tersebut bukan di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan itu.

“MPM atau Pejabat Daerah saja boleh maklumkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melalui kaedah ‘Blue Ocean Strategy’ supaya mereka menyelenggara kawasan ini,” tulis Mohd Ikhmal dalam akaun Facebook beliau.

Isu padang tersebut yang tidak diselenggara sebenarnya bukan isu baharu kerana pada September tahun lalu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menerima aduan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TLDM yang memaklumkan tidak dapat lagi mengadakan latihan terjunan payung terjun di situ selepas rumput tidak dipotong sejak Mac tahun lalu.

Kata Koo Ham, padang yang mempunyai landasan rumput sepanjang 549 meter itu sebelum ini sering menjadi tempat pendaratan helikopter dan kapal terbang ringan terutama apabila membawa orang kenamaan.

Beliau difahamkan kawasan padang terbang itu dimiliki oleh CAAM, agensi di bawah Kementerian Pengangkutan sejak Oktober 2019. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN