Selepas fasa dua PPN, Perlis mungkin benar perjalanan lebih 10 kilometer - Utusan Malaysia

Selepas fasa dua PPN, Perlis mungkin benar perjalanan lebih 10 kilometer

AZLAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Selepas beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), rakyat negeri ini bakal menerima satu lagi perkhabaran gembira apabila perjalanan melebihi 10 kilometer mungkin kembali dibenarkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, cadangan pergerakan merentas melebihi 10 kilometer di negeri ini telah mendapat persetujuan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, kelulusan secara rasmi oleh MKN berhubung perkara itu bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Hari ini, saya telah menghadiri mesyuarat MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Seperti mana yang dibangkitkan oleh ramai warganet, saya telah mencadangkan supaya kebenaran diberikan oleh kerajaan Pusat untuk membolehkan penduduk Perlis rentas dalam negeri melebihi 10 kilometer.

“Alhamdulillah, cadangan ini (rentas dalam negeri melebihi 10 kilometer) telah dipersetujui. Kita tunggu lah kelulusan ini diberikan secara rasmi oleh MKN nanti,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengisytiharkan beberapa negeri termasuk Perlis sudah beralih ke Fasa dua PPN dengan beberapa perniagaan di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran dibenarkan beroperasi antaranya kedai gunting rambut (perkhidmatan asas); komputer dan telekomunikasi; kedai buku dan alat tulis serta kedai cuci kereta.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Perlis hanya memerlukan sekitar 26 peratus lagi dalam kalangan penduduknya untuk menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 bagi membolehkan negeri ini memasuki fasa tiga pelan pemulihan negara iaitu membenarkan pergerakan bebas dan melakukan aktiviti ekonomi tanpa sekatan. 

Pada masa ini, Perlis masih belum mencapai 40 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan 80 peratus penduduknya yang telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Untuk rekod, sekitar 25 peratus penduduk Perlis telah menerima suntikan dos pertama vaksin manakala 14 peratus pula menerima dua dos vaksin.

Tambah Azlan, bagaimanapun, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN