Sanggup tebus biasiswa RM1.2 juta untuk kerja di luar negara - Utusan Malaysia

Sanggup tebus biasiswa RM1.2 juta untuk kerja di luar negara

KERJAYA sebagai doktor memerlukan komitmen yang tinggi, cekap dan teliti yang hanya boleh dicapai menerusi pengalaman bekerja dan peningkatan latihan dan akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramai graduan perubatan yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sanggup membayar ganti rugi RM1.2 juta demi me­raih peluang cerah dan terjamin di negara asing.

Walaupun perjanjian biasiswa mewajibkan mereka pulang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 10 tahun di negara ini tetapi ia tidak berbaloi kerana sekadar bergelar doktor kontrak.

Itu adalah antara situasi yang berlaku dalam kalangan 23,000 doktor kontrak termasuk yang mendapat tajaan JPA.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Malaysia yang mahu dikenali sebagai Dr. Prakash, 31, berkata, kepincangan tersebut menyebabkan ada dalam kala­ngan graduan perubatan tajaan JPA sanggup membayar ganti rugi jutaan ringgit demi masa depan yang cerah di negara luar.

Menurutnya, beliau sendiri adalah antara 2,500 penerima tajaan JPA yang tamat pengajian pada 2017 tetapi sehingga kini masih berstatus doktor kontrak sedangkan mengikut perjanjian biasiswa, mereka diwajibkan berkhidmat dalam perkhidmatan awam untuk tempoh 10 tahun.

Kata Prakash, dalam kala­ngan 23,000 doktor kontrak itu, terdapat juga graduan perubatan luar negara yang menerima pelbagai pembiayaan pendidikan lain dan senasib dengan beliau iaitu belum diserapkan ke dalam perkhidmatan tetap.

Cerita Dr. Prakash, beliau memi­lih pulang berkhidmat di tanah air walaupun hanya berstatus pegawai perubatan kontrak, selain ada pilihan untuk terus menetap dan bekerja di negara seperti United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

“Kalau saya tidak mahu pulang berkhidmat di tanah air, saya kena bayar ganti berjumlah RM1.2 juta. Itu sahaja pilihan kami ada, kena balik ke tanah air dan menjadi doktor berstatus kontrak yang akhirnya tidak menjamin sebarang masa depan meskipun lepasan universiti terkemuka luar negara,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan nasib 23,000 doktor kontrak yang terumbang-am­bing apabila tiada jaminan mereka diserapkan sebagai pegawai perubatan tetap selepas kontrak tamat selain tidak berpeluang meneruskan pengajian di peringkat sarjana.

Dalam pada itu, Dr. Prakash menambah, laluan pengajian untuk bergelar pakar merupakan antara punca penerima tajaan mahu bekerja di luar negara berbanding Malaysia apabila ia mengehadkan untuk pegawai perubatan tetap sahaja.

Katanya, itu tidak bermakna mereka enggan menabur bakti kepada negara sendiri tetapi peluang dan ruang yang sangat terhad menjadi sebab utama perkara itu terhalang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN