PETALING JAYA: Moratorium sahaja tidak mencukupi, sebaliknya tukang gunting rambut merayu kepada kerajaan mengikut jejak langkah Sabah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, T. N. Winda Mohd. Tahir berekata, tindakan kerajaan negeri Sabah itu menunjukkan keyakinan dan keprihatinan terhadap industri gunting rambut dan tidak mengukur kepada jumlah keseluruhan angka kes Covid-19.
“Kami memuji langkah kerajaan negeri Sabah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi. Kita tidak ada kluster dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin.
“Setiap hari kami dihubungi oleh pelbagai pihak sama ada boleh dapatkan khidmat gunting rambut. Ini menunjukkan ia satu keperluan masyarakat. Kalau bimbang sangat, kerajaan boleh benarkan kami berniaga antara 10 hingga 6 petang dan pemotongan rambut hanya boleh dibuat menerusi temu janji, sedikit sebanyak keperluan ini dapat dipenuhi,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berharap Sabah boleh dijadikan contoh bagi membolehkan negeri-negeri lain membuka lebih banyak sektor ekonomi meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami berharap Sabah boleh jadi pengukur kepada negeri-negeri lain, sebab usahawan di negeri lain pun mahu beroperasi, kalau Sabah boleh buat dan patuhi SOP tanpa kenaikan kes, perkara sama boleh dilakukan di negeri lain,” katanya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini mengumumkan beberapa aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi termasuk makan dalam restoran dan restoran dalam premis hotel, kedai gunting rambut, gerai-gerai sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 fasa pertama Pelan Pemulihan Negara akan terus dilanjutkan sehingga jumlah jangkitan harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes, dengan beberapa sektor ekonomi hanya dibenarkan beroperasi pada fasa kedua.- UTUSAN ONLINE










