RCI TH: Adakan sesi pendengaran awam - Utusan Malaysia

RCI TH: Adakan sesi pendengaran awam

TABUNG Haji dijangka mengumumkan kadar dividen 2023 lebih baik bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) akan menjadi lebih efektif dan telus jika turut menggunakan kaedah sesi pendengaran awam.

Malah, langkah itu dapat membantu merungkai kegusaran sembilan juta pendeposit berhubung pengurusan kewangan institusi pengurusan ibadah terbesar negara itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim menyifatkan kaedah itu akan membantu menjawab segala persoalan orang awam mengenai TH kerana ia juga melibatkan pendeposit jemaah haji.

“Tindakan dan perakuan sewajarnya mesti dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH, ” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Namun, apa yang lebih penting, Jais menganggap TH tidak seharusnya membiarkan organisasinya dijadikan sebagai isu politik.

“Wujud desas-desus politik mengatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa melakukan pelbagai tindakan drastik akibat kelemahan pengurusan TH semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Isu dan pertikaian ini membuatkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap TH dalam menguruskan jemaah haji dengan selamat. Harus diingatkan bahawa TH bukanlah ‘medan parti politik’ tapi sebaliknya matlamat utama TH adalah untuk menyediakan peluang seluas-luasnya bagi rakyat Islam negara ini dapat menunaikan ibadah haji dan ianya perlu dipelihara dengan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan akan memperkenalkan dasar model baharu operasi TH dan menyemak semula pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan, cadangan model baharu operasi TH itu akan diteliti secara bersama Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan TH.

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh BNM,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN