Polis rekod keterangan Fahmi Reza di IPD Dang Wangi - Utusan Malaysia

Polis rekod keterangan Fahmi Reza di IPD Dang Wangi

MIOR Faridalathrash Wahid. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes kontroversi poster ‘ayam dan sardin’ melibatkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad membabitkan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah merekodkan keterangan lelaki itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Katanya, siasatan kes berkenaan sedang dikemaskini sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Fahmi telah dipanggil untuk memberi keterangan di mana pegawai penyiasat telah ke Kuala Lumpur untuk merakam percakapannya dengan kehadiran peguam.

“Kita akan rujuk kertas siasatan berkenaan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Op Patuh: Tim Pemantau Bersepadu Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.

Menerusi laporan media pada 17 Jun lalu, Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd. Ariff Abdul Majid membuat laporan polis di IPD Kuala Kangsar ke atas Fahmi, 44, berhubung poster memaparkan Saarani dengan catatan ‘kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak’.

Hantaran tersebut merujuk kepada kenyataan Saarani sebelum ini berkaitan isu pemberian telefon pintar berkualiti rendah kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri ini.

Saarani sebelum ini turut dikecam berikutan kenyataannya iaitu ‘lebih baik ada daripada tiada’ berhubung isu sama di mana telefon pintar percuma itu didakwa tidak memenuhi piawaian Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). 

Siasatan ke atas Fahmi dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN