Polis Kuala Langat wujudkan lapan SJR sepanjang PKPD - Utusan Malaysia

Polis Kuala Langat wujudkan lapan SJR sepanjang PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Lapan sekatan jalan raya (SJR) diwujudkan di sekitar daerah Kuala Langat bermula tengah malam tadi bagi menguat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor selama 14 hari bermula hari ini.

Kesemua lapan SJR itu melibatkan kawasan seperti di Tanjung Dua Belas, Tanjung Dua Belas 2, Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra dan Batu.

Selain itu, terdapat beberapa laluan ditutup mulai hari ini seperti Persimpangan Paya Indah Wetland, susur masuk dari Rimbayu ke Sri Cheding, susur masuk ke jejantas Tmn Bukit Kemandol, susur Masuk Jalan Kebun ke Teluk Panglima Garang dan susur ke Puchong di Jalan Kampung Lombong.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan orang awam keluar bekerja atau mendapatkan barangan keperluan dikehendaki melalui jalan utama dan lebuh raya.

“Pengguna jalan raya perlu menggunakan jalan utama dan lebuh raya dengan melalui SJR yang dibuat bagi memastikan pemeriksaan keluar masuk ke kawasan PKPD dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berjaya,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, laluan khas yang digunakan oleh para petugas barisan hadapan boleh digunakan oleh mereka yang perlu keluar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Selain daripada itu, bagi memberi kemudahan bagi penerima vaksin yang mempunyai temujanji akan disediakan laluan khas yang sama digunakan oleh barisan hadapan di semua SJR dengan mempamerkan janji temu tertera dalam aplikasi MySejahtera,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika PKPD berkuatkuasa sehingga 16 Julai ini dan menghubungi pihak polis sekiranya berhadapan dengan masalah sepanjang tempoh itu.

“Sekiranya tiada urusan mendesak mereka perlu berada di rumah sahaja. Orang ramai  di sekitar Kuala Langat yang menghadapi sebarang masalah dalam tempoh PKPD boleh berhubung dengan bilik gerakan Op Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31801213,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN