Polis keluarkan 16 kompaun kepada kilang, pekerja - Utusan Malaysia

Polis keluarkan 16 kompaun kepada kilang, pekerja

KAMARUL ZAMAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis mengeluarkan 16 kompaun ke atas pengusaha dan pekerja kilang dalam Op Patuh Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kilang dan Penginapan Pekerja di semua daerah Kontinjen Kedah semalam.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sebanyak 299 kilang dan 60 pekerja diperiksa dalam operasi tersebut yang diadakan bagi memastikan Akta 446 Pindaan 2019 dipatuhi dan tiada pelanggaran SOP sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sebanyak 16 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti pekerja melebihi 60 peratus yang dibenarkan, majikan tidak menyediakan tanda penjarakkan fizikal satu meter, kantin di kilang beroperasi secara dine-in, tidak memakai pelitup muka dan tidak mendaftar masuk dengan MySejahtera.

“Polis Kontinjen Kedah akan meneruskan Op Patuh ini dengan kawasan yang lebih menyeluruh dalam memastikan SOP PPN dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan turut dibuat ke atas kehadiran petugas sektor pembuatan kapasiti 60 peratus pekerja dipatuhi selaras dengan Peraturan 16 PU (A) 243/2021 Akta 342.

“Jumlah keseluruhan petugas yang terlibat di dalam Op Patuh Kontinjen Kedah semalam, adalah seramai 382 orang iaitu 332 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 50 orang daripada pelbagai agensi penguat kuasa lain,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN