PETALING JAYA: Pergolakan yang hampir membawa kepada bibit perpecahan dalaman UMNO sebenarnya juga sudah dirasai oleh PKR.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, punca perpecahan yang berlaku dalam PKR suatu ketika dulu adalah kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa parti tersebut masih dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Namun, parti itu telah memutuskan untuk keluar daripada PH yang akhirnya menyaksikan pentadbiran tersebut tumbang dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN).
“Waktu menteri dilantik dalam pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia bukan daripada senarai parti yang kita hantar. Sama juga apa yang berlaku kepada UMNO. Akibat daripada kuasa dan jawatan, disiplin parti remuk, rosak.
“Jadi apa yang berlaku kepada menteri PH dulu sama berlaku kepada menteri UMNO. Apa yang UMNO lalui sekarang adalah apa yang PKR lalui hujung 2019. Sama. Di mana ada pihak lain yang cuba untuk memecahbelahkan parti iaitu Bersatu sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, Pakatan Harapan telah mengangkat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum beliau dijadual menyerahkannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, perancangan itu terkubur apabila Dr. Mahathir dan ahli Bersatu yang lain keluar daripada kerajaan, sekali gus pentadbiran kerajaan PH runtuh.
Tindakan Dr. Mahathir itu diikuti orang kanan Anwar iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bekas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin serta beberapa pimpinan PKR yang lain.
“Kini terpulang kepada UMNO untuk mengambil tindakan yang bagaimana bagi menyelamatkan parti itu,” kata Fahmi. – UTUSAN ONLINE










