Pikas tambah jumlah penerima vaksin - Utusan Malaysia

Pikas tambah jumlah penerima vaksin

SHAHRUL Zaman Yahya meninjau proses vaksinasi Covid-19 pekerja Proton di PPV Pikas di Kompleks Sukan Proton, Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seramai 4,500 pekerja Proton di sini akan menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pikas di Kompleks Sukan Proton di sini merupakan lokasi Pikas pertama di negeri ini 

Menurutnya, seramai 800 orang pekerja Proton akan menerima suntikan dos pertama setiap hari dalam tempoh enam hari di PPV Pikas Kompleks Sukan Proton, di sini.

“PPV Pikas di Tanjung Malim ini adalah satu daripada empat PPV yang dicadangkan di Perak.

“Tiga lagi PPV akan diadakan secara berperingkat di beberapa daerah berasingan setelah mendapat kelulusan daripada pihak kementerian.

“Diharapkan pelaksanaan program pertama Pikas di Proton Tanjung Malim ini akan mewujudkan momentum besar bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan Pikas di seluruh negeri,” katanya selepas  meninjau proses vaksinasi di PPV Pikas Kompleks Sukan Proton Tanjung Malim di sini hari ini.

Shahrul Zaman berkata, beberapa lokasi baharu bagi pelaksanaan inisiatif Pikas di negeri ini akan dikenal pasti oleh pihak yang terlibat.

Menurutnya, InvestPerak bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Perak akan membantu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam perkara berkenaan.

“Sehingga semalam, jumlah vaksinasi dos pertama di Perak adalah sebanyak 485,403 penerima manakala jumlah vaksinasi dos kedua 270,092 penerima.

“Menerusi program Pikas ini, sudah tentu ia akan menyumbang kepada peningkatan jumlah vaksinasi Covid-19 dalam kalangan rakyat negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN