RM1.95 juta barang seludup cuba dibawa masuk - Utusan Malaysia

RM1.95 juta barang seludup cuba dibawa masuk

MOHD. Noh Khamis (kiri) menunjukkan gambar tangkapan dan rampasan dalam tempoh enam bulan tahun ini dalam sidang akhbar di Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di Hulu Kinta, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas pelbagai jenis barangan seludup berjumlah RM1.95 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, jumlah itu membabitkan 188 kes menerusi Op Benteng Sempadan Darat, Op Benteng Pesisir Pantai, Op Bersepadu Khazanah, Op Bersepadu Kontinjen Perlis dan Op Kontraban.

Katanya, daripada jumlah tersebut, daun ketum merekodkan nilai rampasan tertinggi sebanyak 36,087 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan RM1.08 juta.

“Dalam operasi bermula 1 Januari hingga 30 Jun lalu, kita turut merampas 465 botol ubat batuk, 13.98 gram dadah jenis syabu, tujuh laras senjata api, 99 peluru hidup, 57 kenderaan pelbagai jenis dan tiga buah bot dan enjin.

“Selain itu, sebanyak 89 ekor unggas turut dirampas bersama 545 kg daging haiwan dan 9,400 batang rokok seludup,” katanya dalam sidang akhbar di PGA Briged Utara Ulu Kinta di sini hari ini.

Menurut Mohd. Noh, dalam tempoh tersebut, 79 individu termasuk seorang wanita ditangkap berbanding 139 individu dalam tempoh sama pada tahun 2020.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 64 warga tempatan manakala 12 warga Thailand dan tiga warga Myanmar.

“Berdasarkan rekod, berlaku penurunan kes iaitu 205 kes dengan nilai rampasan RM3.8 juta pada tahun 2020 berbanding 188 kes membabitkan jumlah rampasan 1.95 juta, tahun lalu.

“Antara faktor penurunan kes adalah disebabkan kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain pintu sempadan negara juga ditutup kepada orang awam,” katanya.

Tambah beliau, meskipun dalam tempoh PKP, tugas menjaga sempadan negara masih berjalan seperti biasa di mana kira-kira 350 pegawai dan anggota digerakkan bagi penugasan setiap bulan.

“Setiap hari kita menggerakkan pasukan untuk membuat pemantauan termasuk mengesan lubang-lubang tikus yang didapati sering berubah-ubah. 

“Keadaan itu bagaimanapun tidak mengekang semangat kita mengesan penyeludupan termasuk menggunakan dron,” katanya.

Briged Utara PGA terdiri daripada empat batalion iaitu Batalion 1 Ulu Kinta, Batalion 2 Kulim, Batalion 3 Bidor dan Batalion 18 Pengkalan Hulu, di samping Skuadron Perisai 1 Kulim dan Skuadron Perisai 3 Ulu Kinta. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN