PETALING JAYA: Walaupun sudah dijangkiti Covid-19 pada kategori tiga dan empat yang memerlukan bantuan pernafasan namun masih ramai dalam kalangan mereka ketagih untuk merokok dan menyedut vape.
Sikap pesakit itu menyebabkan rokok dan vape menjadi antara barang paling banyak cuba diseludup ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Serdang (Maeps) sejak dibuka sampai sekarang.
Maeps kini hanya menempatkan pesakit kategori tiga dan empat. Sejak pembukaan pusat ini, setiap hari kakitangan bertugas menyita barang terlarang terutama vape dan rokok.
Timbalan Pengarah PKRC Dua Kolonel Dr. Aeriza Mohd Yusak berkata, pelbagai taktik digunakan waris untuk menyeludup bahan larangan berkenaan demi ‘menggembirakan’ pesakit yang sepatutnya ‘insaf’ untuk segera sembuh.
“Ada waris yang diperiksa sanggup menjahit dan memasukkan rokok di bahagian seluar. Kejadian ini sudah berlaku sejak Maeps mula dibuka dan ketika pusat ini menerima pesakit bagi kategori satu dan dua,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Menurut beliau, hanya tiga barang dibenarkan untuk dihantar kepada pesakit yang ditempatkan di PKRC ini iaitu susu kanak-kanak, lampin dan ubat-ubatan.
Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya memberi kelonggaran kepada pesakit yang bukan dari rumah dan tidak membawa apa-apa barangan sebelum dikuarantin di sini.
“Kalau pesakit datang sehelai sepinggang kita benarkan bagasi masuk ke anjung tiba di Maeps dan hantar kepada pesakit dengan diperiksa oleh kakitangan.
“Kami akan suruh waris buka dan semua barang akan diperiksa satu persatu,” katanya.
Dr. Aeriza memberitahu, pihaknya telah membuat hebahan berkenaan tatacara penghantaran barang di laman sesawang pkrcmaeps.gov.my
“Barang yang hendak dibawa akan masuk ke pintu Maeps dan di situ akan ada kod QR serta maklumat tentang pesakit.
“Waktu penerimaan barang adalah pada pukul 8 pagi sehingga 3 petang,” ujarnya.
Sebanyak 1,809 pesakit Covid-19 untuk kategori tiga dan empat dimasukkan ke Maeps, Serdang setakat semalam. – UTUSAN










