PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam akan terus komited dan responsif khususnya dalam penggubalan dasar, tindakan dan operasi yang diputuskan kerajaan sepanjang pandemik Covid-19.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, kerjasama kukuh dan kesefahaman jitu antara agensi kerajaan dan swasta juga adalah ramuan utama kejayaan terutama bagi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, sokongan dan dukungan semua pihak akan menjadi peniup semangat untuk meneruskan perjuangan yang masih belum selesai ini.
“Kita mungkin belum berjaya, namun, anggota perkhidmatan awam sentiasa teguh dalam menggalas amanah dan tanggungjawab diberikan demi negara tercinta,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Mohd. Zuki berkata, impak pandemik dapat ditangani dengan pelaksanaan lapan pakej rangsangan ekonomi serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara besar-besaran kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, pemberian vaksin secara agresif pastinya dapat mengawal penularan wabak dalam komuniti sekali gus memberi harapan untuk semua menikmati kehidupan seperti sedia kala.
Menurutnya, kerajaan juga terus mempertingkatkan keupayaan pemberian vaksin kepada rakyat dengan menyediakan lebih 1,800 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara dengan kapasiti pemberian dos melebihi 400,000 sehari.
“Dijangkakan jumlah ini akan terus bertambah dengan ketibaan lebih banyak bekalan vaksin dan pertambahan PPV dalam masa terdekat untuk mencapai imuniti kelompok.
“Sekiranya semua usaha ini berjalan lancar, kita mampu mencapai sasaran 80 peratus populasi rakyat mendapat vaksin dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata, penularan wabak Covid-19 di Malaysia masih berleluasa walaupun setelah 18 bulan menghadapinya.
Jelasnya lagi, peperangan dengan musuh yang tidak nampak ini amat mencabar, meletihkan dan memerlukan kekuatan serta ketahanan yang ampuh.
“Ia umpama satu perlumbaan maraton yang panjang dan penuh getir ke garisan penamat,” katanya. -UTUSAN ONLINE