Perkenal formula baharu tarik pelancong ke Tasik Kenyir musim tengkujuh - Utusan Malaysia

Perkenal formula baharu tarik pelancong ke Tasik Kenyir musim tengkujuh

RAZALI Idris (dua, kanan) menyampaikan cenderamata kepada Nik Muhamad Zaid Nik Salim dalam Program Ketengah Ambil Cakna kepada Pengamal Media Terengganu di Pejabat Ketengah Holdings di Kuala Terengganu, hari ini.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bakal  memperkenalkan formula baharu bagi menarik pelancong ke Tasik Kenyir pada musim tengkujuh bermula November ini.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, aktiviti pelancongan di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu tidak akan ditutup walaupun dalam keadaan cuaca hujan pada akhir tahun.

“Kita sudah menguar-uarkan Tasik Kenyir akan beroperasi pada bulan November dan Disember, malah kita mempunyai formula baharu bagi membawa pelancong pada musim tengkujuh,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas Program Ketengah Ambil Cakna kepada Pengamal Media Terengganu di Pejabat Ketengah Holdings di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan kira-kira RM10,000 kepada Presiden Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu Darul Iman (Karyawan),  Nik Muhamad Zaid Nik Salim bagi menghargai peranan petugas media yang bertungkus-lumus menghasilkan bahan berita walaupun berdepan cabaran jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Razali berkata, penubuhan Skuad Ambil Cakna membolehkan pendaftaran penerima vaksin Covid-19 di tiga wilayah Ketengah kini mencecah 28,000 orang dalam tempoh kurang seminggu.

Katanya, berdasarkan perkembangan positif itu pihaknya optimis untuk menyelesaikan baki 30,000 lagi penduduk dalam tempoh tiga minggu akan datang.

“Kita yakin pendaftaran kira-kira 70,000 penduduk yang layak divaksin dapat dicapai dalam masa singkat sekali gus akan memperbanyakkan lagi program outreach di 17 lokasi yang disediakan di wilayah ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN